SABAN tahun, pencipta karya, merujuk kepada lagu sentiasa diingatkan tentang keutamaan untuk peka dan cakna mengenai isu hak cipta.
Ini kerana setiap karya yang dihasilkan, hak pemilikannya perlu dilindungi agar tidak jatuh ke tangan pihak lain.
Ini terbukti apabila pemilikan hak cipta banyak lagu popular tempatan yang dipegang pihak asing, mengakibatkan pemilik asal sekadar mampu menggigit jari apabila tidak menikmati pulangan yang sepatutnya menjadi hak mereka.
Isu hak cipta ini terus diperjuangkan penyanyi yang juga Presiden Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3PM), Aris Ariwatan.
Berikut perkongsian Aris mengenai usaha menyedarkan anak seni mengenai hak mereka.
Boleh Aris terangkan kenapa majoriti pemilikan hak cipta banyak lagu popular dulu tidak jatuh tangan pencipta asal?
Label antarabangsa menapak di Malaysia bermula era 60-an lagi. Rata-rata pencipta lirik dan lagu bermula era itu dan seterusnya tidak memiliki sepenuhnya karya ciptaan mereka, sebaliknya majoriti dimiliki label selepas perjanjian ditandatangani. Mengambil iktibar terhadap isu pemilikan hak cipta karya Tan Sri P. Ramlee, saya selaku Presiden 3PM meneruskan usaha memberi kesedaran tentang betapa pentingnya anak seni kita cakna dan peka mengenai pemilikan hak cipta karya mereka sendiri.
Kenapa pencipta karya perlu cakna mengenai isu ini?
Sebaiknya, biarlah lagu tempatan, sama ada lama atau yang baru, dimiliki pencipta asal supaya bayaran royalti dinikmati sepenuhnya pemilik sebenar, bukan pihak lain. Jangan kita jadi seperti peribahasa menang sorak kampung tergadai.

Apa kaedah yang boleh Aris cadangkan kepada pencipta lagu yang inginkan mendapatkan semula hak cipta
Pertama, kita mungkin boleh ikut langkah beberapa negara lain yang selepas 15 tahun, hak cipta, yang dimiliki syarikat rakaman secara perjanjian, dipulangkan kepada pencipta lagu. Untuk melakukan ini, kita perlu campur tangan kerajaan. Kedua, penggiat seni boleh contohi langkah penyanyi antarabangsa, Taylor Swift yang merakamkan dan menerbitkan semula enam album pertamanya untuk mendapatkan pemilikan penuh rakaman asal lagu selepas berlaku pertikaian hak cipta
Apa cabaran terbesar dalam usaha memperjuang pemilikan hak cipta ini?
Kesatuan. Merujuk kepada dunia seni tanah air, penggiat tidak bersatu. Isu hak cipta ini bukan perjuangan individu. Kita perlukan suara ramai.
Hakikatnya, tidak semua penggiat seni mahu berada dalam kapal yang sama. Kita nampak jurang, hanya segelintir nama besar yang rela sama-sama berjuang.
Yang lain ada ego masing-masing. Selesa dengan kedudukan mereka sekarang, sibuk dengan hal sendiri. Mungkin sikap mereka berubah apabila sakit atau tidak lagi popular.
Apa nasihat Aris kepada pelapis dunia seni agar masalah sama menimpa generasi dulu, tidak berulang.
Pandanglah kerjaya dalam bidang seni ini sebagai karier yang serius. Bakat semata-mata tidak bawa ke mana-mana.
Persiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan, lebih-lebih lagi tentang hak cipta dan pemilikan karya kerana kalau tindakan kita betul, kita akan nikmati kesenangan di kemudian hari.










