KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman, memohon doa orang ramai agar segala urusan mereka dipermudahkan susulan spekulasi mendakwa pasangan itu sedang menantikan kehadiran cahaya mata.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 36, berkata, mereka tidak berniat untuk merahsiakan sebarang khabar gembira, sebaliknya akan berkongsi perkara tersebut apabila tiba masa yang sesuai.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, insya-Allah masa itu akan tiba sama ada cepat atau lambat. Ketika itu kami sudah bersedia untuk berkongsi berita gembira.
“Buat masa sekarang, belum tiba waktunya. Harap semua bersabar. Jangan bimbang, kami tidak akan menyembunyikannya kerana ini perkara baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Usanita di sebuah hotel, di sini, semalam.
Fattah berkata demikian bagi mengulas perubahan fizikal Amira yang mencetuskan dakwaan sedang hamil selepas beberapa video tular memaparkan penyanyi itu seolah-olah cuba menyembunyikan ‘baby bump’ ketika berhadapan dengan orang ramai.
Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, menyifatkan spekulasi dalam kalangan peminat sebagai perkara lumrah bagi pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga.
“Kalau sebelum kahwin orang tanya bila hendak kahwin, selepas kahwin tentulah orang ingin tahu berita seterusnya. Itu perkara biasa bagi anak seni.
“Namun, jika ada perkara baik, saya akan kongsikan. Jika saya memilih untuk tidak memberi komen, pasti ada sebab dan kami sudah memikirkan waktu yang terbaik. Saya yakin peminat memahami dan menghormati keputusan kami,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amira turut menzahirkan rasa syukur apabila menerima komen positif netizen yang menyifatkan dirinya kelihatan semakin berseri.
“Alhamdulillah, jika nampak saya sihat dan berseri-seri. Jika perkara baik itu keluar daripada mulut mereka, tidak kira di mana platform sekali pun, kami ucapkan terima kasih.
“Teruskan mendoakan yang baik-baik buat kami,” katanya.










