PELAKON, Areef Amran boleh dikatakan bertuah kerana masih dikurniakan raut wajah remaja di usia mencecah 28 tahun.
Kelebihan itu membuatkan anak kelahiran Muar, Johor ini acap kali menjadi buruan penerbit untuk membawakan watak pelajar sekolah.
Dan jika dihitung, sudah tiga kali jejaka tinggi lampai ini membawa watak pengawas sekolah antaranya dalam drama Kelas Belakang yang ditayangkan di platform Viu.
Graduan jurusan perfileman Saint Francis Xavier Sixth Form College ini bagaimanapun mengakui sudah tiba masanya dia bertukar angin.
Merasakan diri sudah terlalu dewasa untuk membawa watak budak sekolah, Areef mengintai karakter matang dan dewasa.
“Saya merasakan memang saya sudah tidak sesuai melakonkan watak pelajar sekolah sebab faktor usia. Kalau boleh selepas ini saya tidak mahu lagi membawa watak itu.
“Kalau pun saya ditawarkan cerita tentang sekolah, mungkin sudah masanya saya mencuba watak lain, contohnya menjadi cikgu pula.
“Kalau ditanya pasal watak idaman, saya benar-benar menginginkan watak cikgu yang berimpak tinggi, seperti John Keating yang dilakonkan Robin Williams menerusi Dead Poet Society.
“Tapi kalau masih ditawarkan watak pelajar sekolah, saya anggap sebagai rezeki,” katanya.
Areef dalam masa sama tidak menolak hakikat sekolah sarat dengan cerita yang menarik dikupas dalam filem dan drama.
“Banyak isu sekolah yang menarik untuk diceritakan. Daripada kisah tentang gejala buli sehinggalah isu perkauman. Memang seronok berlakon cerita pasal sekolah.
“Sebab itu, saya terbuka menerima tawaran berlakon cerita tentang sekolah. Cuma kalau boleh bukan lagi sebagai pelajar sekolah. Saya pun sudah berumur 28 tahun, mungkin tidak lagi sesuai
berlakon sebagai budak,” ujarnya.
KERJAYA IMPIAN
Areef membuat keputusan tepat dengan hadir ke beberapa sesi uji bakat menjadi pelakon sebaik menamatkan pengajian pada 2023.
Baginya, sebagai pelajar perfileman, dia telah memilih bidang kerjaya yang betul dan serasi dengan keinginannya meskipun bermula dengan kerja di depan kamera.
“Saya tidak merasakan dengan menjadi pelakon saya mensia-siakan pembelajaran saya di United Kingdom. Saya berada dalam bidang yang betul.
“Minat saya sebenarnya lebih cenderung kepada kerja-kerja di belakang tabir, seperti penulisan skrip dan penceritaan, sinematografi, pengarahan dan sebagainya.
“Tapi rezeki saya masuk ke bidang perfileman sebagai pelakon. Mungkin selepas ini saya akan teroka pula skop tugas belakang tabir lebih-lebih lagi sebagai penulis cerita,” katanya.
Areef bagaimanapun belum merancang untuk bergelar pengarah drama atau filem kerana maklum ia satu bidang tugas yang berat yang memerlukan kepakaran tinggi.
“Saya baru masuk industri, jadi belum banyak pengalaman untuk bergelar pengarah. Ada pelakon yang pada usia muda sudah terjun bidang pengarahan kerana mereka semulajadi berbakat dalam skop kerjaya itu manakala yang lain perlu pengalaman. Mungkin satu hari nanti saya duduk di kerusi pengarah, apabila pengalaman dan ilmu sudah cukup ditimba,” kongsinya.










