PETALING JAYA: Pelakon, Azar Azmi tampil mendedahkan rakan baiknya, Ozlynn Waty menjadi antara individu pertama dirinya berkongsi keperitan yang ditanggung setelah sekian lama menyepi dalam industri.
Kata Azar, dia telah berkongsi segala kisah hidupnya kepada pelakon itu beberapa hari sebelum dirinya ditahan polis bagi membantu siasatan pada Mac lalu.
“Masa saya susah ada seorang kawan yang tahu cerita ini tiga hari sebelum saya ditahan. Ozlynn Waty. Saya sempat bercakap dengan dia dan cerita semua kronologi,” katanya menerusi audio siar Sembang Seram.
Lebih menyentuh hati, pelakon drama Nur itu memaklumkan Ozlynn turut menghulurkan bantuan zakar kepadanya untuk membeli barang keperluan anak-anak.
“Dia adalah bagi sedikit zakat dekat saya untuk beli pampers dan susu anak. Saya dapat bagi anak-anak saya makan ayam goreng sebab anak saya memang suka ayam,” kongsinya.
Terharu dengan kebaikan rakan baiknya itu, Azar dilihat gagal menahan air mata, selain bersyukur bantuan itu sedikit sebanyak membolehkannya membahagiakan anak-anaknya seadanya.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung telah menuai perhatian ramai di seluruh platform media sosial, malah rata-ratanya memuji sikap pemurah Ozlynn.










