PETALING JAYA: Pelakon, Dayana Roza mengakui dirinya lebih kuat berbanding sebelumnya selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.
Menurut Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin, 35, dirinya mahu tampil dengan semangat yang baharu setelah penat berperang dengan kesihatan mental dan emosi sejak beberapa bulan lalu.
“Lama menghilangkan diri dari media sosial dan kehidupan sosial atau apa sahaja. Namun, saya kembali sekarang, lebih kuat daripada sebelumnya.
“Penat melawan kesihatan mental, penat setiap hari memujuk diri untuk terus kuat,” katanya di Threads.
Malah, pelakon itu turut meluahkan rasa syukur kerana memiliki keluarga dan kenalan rapat yang tidak putus memberi sokongan kepadanya agar terus bangkit.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mempunyai anak-anak, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan rapat yang sentiasa menyokong saya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Dayana turut berpendapat bahawa individu yang sentiasa ada bersama ketika ditimpa kesusahan adalah orang yang benar-benar ikhlas mengambil berat terhadapnya.
“Apabila kita sedang menghadapi masalah, barulah kita nampak siapa kawan yang benar-benar ada dan mengambil berat tentang kita.
“Yang tiada itu, biarkan sahaja, tidak rugi pun. Kekalkan lingkungan pergaulan yang kecil, pasti lebih bahagia,”ujarnya.
Terdahulu, Dayana mengesahkan dirinya sudah bercerai dengan bekas suaminya, A’dale Adham Ayahudin pada 18 Disember lalu.
Difahamkan, keputusan untuk berpisah dibuat atas dasar tiada lagi persefahaman antara mereka, meskipun telah berusaha mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Untuk rekod, Dayana dan A’dale mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2020 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Astrid Raheeya, 4, dan Aryan Andika, 2










