KUALA LUMPUR – Ikon sitar global, Anoushka Shankar kembali ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun untuk mengadakan persembahan eksklusif satu malam pada 4 Oktober ini.
Konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre itu dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling berprestij dan dinanti-nantikan tahun ini.
Persembahan tersebut bukan sahaja meraikan evolusi muzik dunia, malah mengetengahkan pertembungan budaya Timur dan Barat dalam satu pengalaman artistik yang unik.
Menurut Anoushka Shankar, kepulangannya ke Malaysia membawa makna tersendiri selepas sekian lama tidak beraksi di hadapan peminat tempatan.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun dan berkongsi perjalanan muzik terbaharu saya bersama penonton di sana,” katanya.
Anak kepada legenda sitar dunia, Ravi Shankar itu turut menegaskan bahawa konsert kali ini akan menampilkan dimensi emosi yang lebih mendalam.
“Konsert ini adalah refleksi perjalanan seni saya, menggabungkan tradisi dengan bunyi moden yang lebih segar dan eksperimental,” ujarnya.
Sepanjang lebih tiga dekad kerjaya, beliau telah menerima 13 pencalonan Anugerah Grammy serta menjalin kolaborasi bersama artis ternama seperti Herbie Hancock, Sting, Norah Jones dan kumpulan Gorillaz.

Konsert ini bakal menampilkan karya daripada album terbaharunya, Chapter III: We Return to Light yang menyentuh tema penyembuhan, harapan dan transformasi, selain interpretasi baharu karya-karya terdahulu.
Tiket akan mula dijual pada 8 April ini bermula jam 11 pagi, dengan permintaan dijangka tinggi sekali gus menjadikan peluang menyaksikan persembahan ini sebagai pengalaman eksklusif yang tidak harus dilepaskan.










