KUALA LUMPUR: Pelakon, Atikah Suhaime mengakui kehidupan selepas mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu yang mudah apabila pelbagai ujian hadir dalam fasa perkahwinan.
Menerusi perkongsian di Threads, Atikah berkata, antara cabaran yang dihadapinya ialah perasaan mudah berasa jengkel terhadap suaminya, usahawan Lokman Teh.
Menurutnya, sebelum berkahwin, dia melihat suaminya sebagai seorang yang sempurna, namun selepas bergelar isteri, perkara kecil yang dilakukan suaminya kadangkala menimbulkan rasa kurang senang.
“Ujian selepas perkahwinan memang real dan pelik. Sebelum saya kahwin, saya selalu ingat suami saya sempurna.
“Selepas kahwin, semua benda yang suami saya buat saya rasa ‘annoyed’,” katanya.
Bagaimanapun, Atikah berkata, dia berusaha mengawal perasaan tersebut dengan memperbanyakkan istighfar secara konsisten, khususnya selepas menunaikan solat Subuh.
Katanya, amalan beristighfar sebanyak 100 kali selepas solat membantu menenangkan hati dan melembutkan kembali perasaannya terhadap suami.
“Saya selalu amalkan istighfar 100 kali selepas solat Subuh. Kemudian, perlahan-lahan lembut hati balik pada suami,” ujarnya.
Namun, pelakon itu mengakui situasi berbeza setiap kali dirinya datang bulan apabila mereka sering kembali berselisih faham.
Menurut Atikah, keadaan itu membuatkan dia tertanya-tanya sama ada ia berkaitan dengan penyakit ain seperti yang sering diperkatakan ramai.
“Saya perasan setiap kali saya datang bulan, mesti saya akan mula bergaduh dengan suami sebab saya tak boleh solat dan zikir.
“Apabila habis sahaja period dan saya mula kembali mempraktikkan amalan tersebut, barulah kami kembali baik. Adakah ini normal? Atau sebenarnya tanda penyakit ain?” katanya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai apabila rata-rata netizen berpendapat situasi itu adalah perkara normal dalam kehidupan berumah tangga dan bukan disebabkan penyakit ain.
Untuk rekod, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Mulan, yang kini berusia setahun.









