PETALING JAYA: Bagai sudah lama terbuku dihati, pelakon, Faye Kusairi memohon secara terbuka kepada pihak produksi untuk memberinya peluang membintangi naskhah dan menjayakan watak yang berkualiti.
Faye atau Dayangku Faratiwan Awang Kusairi, 39, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah disiplin, malah mampu memberi kerjasama yang baik setiap kali menjalani penggambaran sesebuah karya.
“Selagi aku tidak merajuk, tolonglah ambil aku untuk watak dan naskhah yang baik. Aku tidak pernah lewat, sentiasa menepati masa.
“Aku sentiasa bersedia mengikut skrip dan keperluan watak. Dan aku memang tidak cerewet atau banyak permintaan,” katanya di Threads.
Namun, pelakon drama Andai Itu Takdirnya tersebut mengakui dirinya tidak popular dan kurang relevan seperti segelintir pelakon yang mempunyai ramai pengikut.
Bagaimanapun, Faye optimis dirinya mampu menjayakan sesebuah watak sehabis baik tanpa rasa kekok.
“Satu-satunya kekurangan yang aku boleh fikirkan ialah aku tidak popular atau terkenal dengan jumlah pengikut yang ramai.
“Aku tahu itu membuatkan aku kurang relevan pada masa kini. Entahlah. Yang penting, aku tahu aku tidak kayu,” ujarnya.










