Aku mengajar, bukan abaikan atau culas tanggungjawab - Shakilla Khoriri

Aku mengajar, bukan abaikan atau culas tanggungjawab – Shakilla Khoriri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Shakilla Khoriri tampil menjelaskan isu wang belanja persekolahan yang diberikan kepada anaknya, Ameena Sofia yang mengundang pertikaian dalam kalangan netizen.

Menurut Shakilla, puteri kesayangannya itu enggan menggunakan wang saku yang diberi di sekolah memandangkan dia sudah menyediakan sarapan pagi yang mengenyangkan sebelum ke sekolah.

“Biar saya jelaskan isu duit belanja RM3 untuk Ameena. Sejak hari pertama sekolah, Ameena tidak pernah membeli atau mahu makan makanan yang dijual di sekolah.

“Jadi setiap pagi, saya sediakan sarapan yang mengenyangkan untuknya sebelum ke sekolah bukan sekadar roti atau biskut.

“Sebab itu, duit belanja tersebut selalunya dibawa pulang semula. Dia sendiri tidak tahu hendak membeli apa, malah kadang-kadang dia membeli sesuatu tetapi tidak dimakan,” katanya di Instagram Story (Igs).

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Adam dan Hawa itu turut mendidik anaknya untuk menabung, bahkan memuji sikap Ameena yang tidak boros dalam berbelanja.

“Saya juga mengajarnya supaya memasukkan duit belanja itu ke dalam tabung jika tidak digunakan. Ameena memang jenis yang tidak suka berbelanja sesuka hati kerana baginya makanan yang dibawa sudah mencukupi.

“Apabila saya mengatakan Ameena seorang anak yang baik dan menyenangkan, ini antara sebabnya. Dia bukan jenis yang suka membeli perkara yang tidak perlu,” kongsinya.

Enggan cara didikannya disalahtafsir oleh sesetengah pihak, Shakilla menegaskan dirinya masih mampu untuk menyara anak perempuannya itu secukupnya.

“Jika mahu memberi duit belanja yang lebih banyak sekalipun, saya mampu kerana saya bekerja untuknya. Namun, saya lebih kepada mengajar, bukan sehingga mengabaikan atau culas dalam tanggungjawab,” ujarnya.

Shakilla berkata demikian selepas seorang individu mempersoalkan tindakannya memberi duit belanja buat Ameena sebanyak RM3, selain berpendapat jumlah tersebut tidak cukup untuk anak-anak berbelanja di sekolah.

Terdahulu, Shakilla meluahkan rasa kesal selepas mendakwa anaknya tidak diberikan duit belanja ke sekolah menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Difahamkan, hantaran tersebut ditujukan kepada bekas suaminya, Fizi Ali ketika Ameena berada di bawah jagaannya.

Ameena Sofia merupakan hasil perkongsian Shakilla bersama Fizi yang pernah berkahwin pada 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN