KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ameera Khan berkongsi pandangan bahawa seseorang wanita tidak seharusnya terus bertahan dalam sesuatu hubungan sekiranya pasangan gagal memberikan rasa selamat, terjamin dan stabil.
Ameera atau lebih dikenali sebagai LMK berkata, walaupun dia mampu menjaga dirinya sendiri, namun dia tetap menghargai layanan manja daripada pasangan dalam sesebuah perhubungan.
Menurutnya, peranan lelaki bukan sekadar menyediakan keperluan asas, sebaliknya perlu mampu memberikan rasa perlindungan dan kestabilan emosi kepada pasangan.
“Peranan seorang lelaki dalam hubungan bukan hanya sekadar menyediakan keperluan. Saya boleh menjaga diri sendiri, jadi saya tidak memerlukan kamu untuk itu, tetapi manjakan saya juga kerana saya sukakannya.
“Seorang lelaki sepatutnya membuatkan kamu rasa selamat, terjamin dan stabil. Jika dia tidak mampu, jangan sesekali bersetuju atau berkompromi,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Mengimbas kembali pengalaman hubungan terdahulu, Ameera yang juga adik kepada selebriti terkenal, Neelofa mendedahkan bahawa dia sering melakukan perkara yang sepatutnya menjadi tanggungjawab lelaki dalam hubungan tersebut.
Katanya, dia telah memberikan segala usaha dan komitmen demi kebaikan pasangannya, namun tidak menerima balasan yang setimpal.
Dalam pada itu, Ameera turut menjawab pertanyaan wargamaya mengenai pandangan bapanya terhadap pilihan pasangannya sebelum ini.
Menurut Ameera, bapanya sering berasa kecewa dengan pilihan tersebut, namun tetap bersikap baik terhadapnya.
“Awak tak nak tahu apa yang dia cakap. Boleh kata dia sentiasa kecewa dengan pilihan saya, tetapi dia tetap baik.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.










