PETALING JAYA: Definisi pekerja gig yang bakal diperkenalkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) dibimbangi menjejaskan peluang pekerjaan serta mengancam kelangsungan sumber pendapatan pekerja tempatan.
Rakan Penghantar Kedah (RPK) dalam kenyataan berkata, hasil penelitian persatuan itu mendapati definisi tersebut turut merangkumi golongan pemastautin tetap (PR).
Persatuan itu juga membangkitkan isu perundangan, khususnya kemungkinan berlakunya pertindihan bidang kuasa antara Akta 872 yang baharu ini dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Kegagalan mengharmonikan kedua-dua akta ini dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan serius daripada segi pengawalseliaan industri, serta menyukarkan pelaksanaan dasar di lapangan pada masa akan datang.
“Lebih membimbang dan mendukacitakan, RPK menyatakan rasa kecewa kerana sehingga hari ini tiada sebarang sesi libat urus rasmi diadakan bersama pihak kami.
“Walaupun RPK secara sah mewakili komuniti penghantar di peringkat negeri, suara kami seolah-olah dipinggirkan,” katanya.
Menurut RPK, keadaan itu secara langsung menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keterangkuman dan ketelusan dalam proses perundingan dasar oleh pihak berwajib.
“Adalah amat tidak wajar apabila pihak seperti kami, yang terlibat secara langsung dalam operasi harian industri, tidak diberikan ruang sewajarnya untuk menyuarakan pandangan dan memberikan maklum balas sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
“Kami menggesa agar pelaksanaannya ditangguhkan sementara ruang perbincangan yang lebih adil dan telus dibuka kepada semua persatuan di pelbagai peringkat demi kelangsungan pekerja p-hailing dan e-hailing di negara ini,” katanya. – UTUSAN









