Aduhai… Cik Bunga ini bukanlah jenis suka cari cerita, tapi bila sudah banyak sangat bisik-bisik sampai ke telinga, rasa macam tidak tertahan pula hendak kongsi. Bukan apa, kadang-kadang manusia ini bila sudah senang sikit, mula lupa siapa yang tolong waktu susah dulu.
Ini kisah mengenai seorang penyanyi wanita. Suaranya memang boleh tahan, lagu pun makin menjadi siulan ramai. Tapi sayangnya, perangai di belakang tabir, lain pula ceritanya. Dulu, masa dia mula-mula hendak mencipta nama, di sisinya ada seorang jurusolek senior yang setia mencantikkan wajahnya dari kosong sampai bersinar di pentas.
Pendek kata, bukan sekadar ‘makeup artist’, tapi macam mentor, penasihat, malah secara tidak langsung jadi perunding imejnya. Tapi itulah manusia, apabila sudah mula dikenali, mulalah ada ‘orang luar’ yang datang ‘mencucuk’. Konon-konon mahu bantu naikkan lagi imej. Entah apa yang dibisikkan, tiba-tiba penyanyi ini ambil keputusan terus ‘buang’ jurusolek lama. Katanya, sudah tidak diperlukan lagi. Eh, mudahnya?
Cik Bunga dengar, jurusolek itu tiak buat salah pun. Malah selama ini setia, ikut kehendak, dan sentiasa cuba beri yang terbaik. Tapi hanya kerana ‘pengaruh’ orang lain, terus dipinggirkan. Yang lebih mengecewakan, bila penyanyi ini mula guna jurusolek baru, maaf cakaplah, hasilnya langsung tak kena dengan dirinya.
Konon mahu tampil kelainan, nak nampak lebih ‘fresh’ dan ‘global’. Tapi yang jadi… nampak kusam, kelam, hilang seri asli. Macam tidak kena langsung dengan wajah dia.
Ramai juga yang sudah tegur, baik peminat mahupun orang industri. Tapi biasalah, bila ego tinggi. Nasihat pun masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Cik Bunga bukan mahu kata tidak boleh berubah. Tapi perubahan itu biarlah berpada-pada, jangan sampai hilang identiti sendiri.
Dan satu lagi yang buat Cik Bunga betul-betul terkilan, jurusolek lama itu sekarang khabarnya kurang sihat. Sudah lama juga tidak aktif macam dulu. Tapi si penyanyi ini? Jangankan ziarah, bertanya khabar pun tidak.Sedangkan dulu, orang itulah yang sentiasa ada, tidak kira masa susah atau senang.
Aduhai, kadang-kadang Cik Bunga terfikir, setinggi mana pun kita terbang, jangan lupa siapa yang pernah jadi ‘sayap’ kita. Tidak salah hendak cari orang baru, tidak salah mahu berubah. Tapi jangan sampai lupa jasa. Dunia ini kecil saja, hari ini kita di atas, esok lusa belum tentu lagi.










