KUALA LUMPUR: Pengacara dan personaliti televisyen, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan menegaskan pembedahan plastik bukan pilihan buat dirinya walaupun sering berdepan tekanan berkaitan penampilan sebagai figura awam.
Hawa Rizwana, 31, berkata dia lebih selesa memilih rawatan estetik bukan invasif bagi mengekalkan kecantikan semula jadi tanpa melakukan perubahan drastik pada wajahnya.
Menurutnya, sebagai individu yang aktif di media sosial serta kerap muncul di hadapan kamera, beliau tidak menafikan komen mengenai penampilan merupakan cabaran yang perlu dihadapi.
“Orang sentiasa mempunyai pendapat tentang rupa kita. Ada yang membina, namun ada juga yang boleh memberi tekanan,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, tekanan tersebut tidak wajar dijadikan faktor penentu untuk membuat keputusan besar melibatkan wajah dan identiti diri.
“Pembedahan plastik bukan pilihan saya. Saya tidak mahu mengubah wajah hanya kerana standard atau komen orang lain. Apa yang saya lakukan hanyalah menambah baik apa yang sudah ada.
“Bagi saya, kecantikan datang daripada penjagaan yang konsisten, bukan perubahan secara drastik,” ujarnya.

Dalam pada itu, selaku Duta Estika Medispa, Hawa melihat rawatan anti-penuaan moden sebagai langkah pencegahan yang bijak bagi membantu mengekalkan seri serta keanjalan kulit secara berperingkat dan selamat.
Estika Medispa yang kini memasuki tahun ke-11 penubuhannya menawarkan pelbagai rawatan estetik bukan invasif dengan penggunaan teknologi terkini bagi membantu pelanggan mengekalkan kesihatan serta kecantikan kulit tanpa prosedur pembedahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Estika Medispa, Dr. Haq Wasa berkata, trend kecantikan masa kini semakin menjurus kepada hasil yang lebih semula jadi dan dilakukan secara berperingkat.
“Kami menggalakkan pendekatan pencegahan awal. Dengan rawatan yang konsisten dan bersesuaian, keperluan untuk menjalani prosedur invasif dapat diminimumkan,” katanya.
Sepanjang 11 tahun beroperasi, Estika Medispa telah membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia mendapatkan rawatan penjagaan kulit wajah, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju dalam industri estetik bukan invasif di negara ini.
Kolaborasi bersama Hawa Rizwana juga dilihat bukan sekadar pelantikan duta, sebaliknya membawa mesej bahawa kecantikan boleh diurus secara bijak, selamat dan berperingkat tanpa mengorbankan identiti serta keaslian seseorang.










