Tempah empat pasang baju untuk Hawra walau tidak raya bersama - Utusan Malaysia

Tempah empat pasang baju untuk Hawra walau tidak raya bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN jawatan sebagai suami sudah terlucut dari bahu, namun tidak ada apa-apa yang boleh menghilangkan gelaran bapa dari hidup seorang lelaki. Bagi pelakon, Kamal Adli, kembali menjadi bujang sudah semestinya terasa janggal apalagi sebelum ini hidupnya meriah dengan isteri dan anak di sisi. 

Ramadan tidak hanya membuatkannya harus kembali ke dapur dan bersahur sendirian, malah Kamal atau Ahmad Kamal bin Ahmad Adli, 40, mengakui sedikit ralat kerana bakal beraya di kampung halaman di Pahang sendirian tanpa anaknya, Hawra Uqaira. Walaupun begitu, Kamal reda dan tidak lupa menyiapkan kelengkapan anak tunggalnya itu sempena lebaran ini.

“Tahun ini saya tempah khas empat pasang baju kurung buat Hawra. Saya tak mahu beli yang sedia ada sebab bimbang saiznya tak kena. Biarlah dia nampak cantik boleh bergaya di pagi raya nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagi Kamal, walaupun situasi keluarga mereka sudah berubah selepas dia dan bekas isteri, Uqasha Senrose memilih membawa haluan masing-masing pada 12 Januari lalu. Namun dia sentiasa mahukan yang terbaik buat puterinya walaupun dalam keadaan yang sudah berbeza. 

“Sepatutnya tahun ini giliran raya di Pahang. Ia sepatutnya menjadi tahun pertama untuk menantu-menantu berkumpul di sana, merasai suasana raya di kampung halaman saya.

“Tapi nampaknya tahun ini saya akan duduk sebilik dengan adik lelaki sajalah. Berkongsi bilik, bercerita tentang hidup. Itulah raya saya kali ini,” ujarnya tersenyum.

Ditanya mengenai hubungan dengan bekas isteri, Kamal mengakui tiada komunikasi  seperti dahulu namun masing-masing sangat terbuka untuk berhubung apabila berkaitan kebajikan anak.

“Kami jarang berhubung. Kalau ada pun, hanya untuk bertanya hal Hawra atau urusan untuk saya berjumpa dengan anak. Saya faham dia juga sibuk dengan penggambaran,” katanya.

Kamal bagaimanapun memuji sikap profesional Uqasha yang tidak sesekali memutuskan talian antara bapa dan anak. Bagi Kamal, keizinan untuk melihat Hawra adalah hadiah terbesar buatnya ketika ini.

“Saya bersyukur Uqasha sangat memudahkan urusan saya untuk berjumpa Hawra. Dia tahu saya rindukan anak, dan dia memberi ruang itu. Bila nampak Hawra seronok dan teruja setiap kali berjumpa saya, itu sudah cukup buat saya,” katanya.

Menghibur diri sendiri di Threads

Jika buka sahaja aplikasi Threads, ada sahaja komen yang diturunkan Kamal Adli menyapa pengguna dengan gelaran ‘rakyat’, malah tidak kurang juga ada yang memanggil Kamal dengan gelaran ‘Presiden Threads’. Mengulas mengenai itu, Kamal tidak menafikan itu menjadi salah satu caranya untuk menghadapi kesunyian yang melanda diri.

“Kadang-kadang rasa kosong juga bila duduk rumah sendirian. Jadi, saya borak-borak dengan orang di Threads. Saya tak layan benda serius, saya cuma nak hiburkan hati sendiri dan orang lain juga,” jelasnya.

Baginya, bulan Ramadan dan Syawal ini tidak sepatutnya dicemari dengan perbalahan atau perasaan negatif. Dia lebih selesa membawa haluan sendiri dan mengelak daripada sebarang provokasi netizen yang cuba mengaitkan kehidupan peribadinya.

“Tak payahlah nak cari salah sesiapa. Silap-silap orang yang kita kritik itu lebih mulia kedudukannya berbanding kita. Fokus pada diri sendiri dan ibadah itu lebih baik,” katanya.

Walaupun emosinya sedikit teruji, rezeki Kamal dalam bidang seni nampaknya terus mencurah-curah. Dia kini sibuk dengan pelbagai projek drama dan konten untuk jenama pakaian tempatan.

“Alhamdulillah, rezeki anak. Ada jenama baul bagi baju raya tanpa had. Walaupun saya mungkin beraya biasa-biasa saja, tapi pilihan baju itu tetap ada untuk 30 tahun akan datang pun tak habis pakai,” katanya sambil ketawa.

Terdahulu, Kamal Adli dan Uqsha sah bercerai pada 12 Januari lalu kerana tiada persefahaman. Kamal menyifatkan keputusan melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Uqasha Senrose hari ini sebagai momen paling gelap dalam hidupnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN