PETALING JAYA: Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi 2027 dibuka sehingga 31 Ogos ini dan boleh dilakukan secara dalam talian.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, Tabika Perpaduan menawarkan pendidikan prasekolah berkualiti dengan kurikulum berstruktur bagi menyediakan kanak-kanak menghadapi alam persekolahan di Tahun Satu.
Katanya, bermula tahun ini, Tabika Perpaduan akan mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang memberi penekanan terhadap pembangunan menyeluruh kanak-kanak merangkumi aspek kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan.
Katanya, setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, sekali gus menjadikannya platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan sejak usia muda.
“Usaha ini diperkukuhkan menerusi Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 sebagai inisiatif strategik kementerian untuk memperbaharui program pendidikan awal kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarat kemasukan terbuka kepada warganegara Malaysia memiliki Sijil Kelahiran dan MyKad, berumur antara empat hingga enam tahun dengan keutamaan diberikan kepada pemohon yang tempat tinggal atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan.
Aaron berkata, pelan pendidikan itu bertujuan memperkukuh peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi yang bukan sahaja membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Katanya, ia merangkumi pemantapan kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama komuniti serta sistem pemantauan berkesan.
“Enam teras utama digariskan termasuk memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru dan mengukuhkan kerjasama komuniti.
“Selain itu, mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran, memantapkan tadbir urus serta memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian.
“Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan awal berkualiti dalam persekitaran yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati serta keharmonian masyarakat majmuk,” katanya. – UTUSAN











