KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan sebuah telefilem sarat emosi berjudul Doa Sang Pendosa yang menghimpunkan barisan pelakon wanita berpengalaman dan berbakat besar tanah air.
Diterbitkan oleh Red Bean Productions, karya tersebut menampilkan nama-nama hebat seperti Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah, sekali gus menjanjikan sebuah naskhah yang bukan sekadar hiburan, malah penuh pengisian bermakna.
Telefilem itu mengangkat kisah kehidupan wanita yang terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah dan menjalani proses pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kota Bharu. Ia mengetengahkan realiti pahit masyarakat serta perjuangan untuk bangkit daripada masa silam.

Menurut Farah Ahmad yang memegang watak Zaiton, seorang warden tegas tetapi penyayang, peranan tersebut menuntut keseimbangan emosi yang tinggi.
“Saya perlu tampil tegas, namun dalam masa sama menunjukkan kasih sayang supaya penghuni pusat pemulihan menghormati dan mempercayai watak Zaiton,” katanya.
Tambah beliau, telefilem tersebut membawa mesej besar tentang kepentingan sokongan keluarga dan usaha berterusan untuk berubah.
“Walaupun kisahnya berat, ia membuka mata masyarakat bahawa mereka yang terlibat masih mempunyai harapan untuk kembali ke jalan yang benar,” ujarnya.
Sementara itu, Fauziah Nawi meluahkan rasa syukur dapat berganding dengan pelakon pelbagai generasi yang disifatkan mempunyai keserasian tinggi sepanjang penggambaran.
Nadia Aqilah pula melihat kekuatan naskhah itu terletak pada fokus terhadap watak wanita dan keberanian mengupas isu yang jarang diketengahkan secara serius.
“Semua watak utama adalah wanita dan masing-masing membawa konflik yang kuat. Ini sesuatu yang segar dan berani,” katanya.

Bagi Fatimah Abu Bakar yang membawakan watak June, seorang penagih yang mencari ketenangan hidup, perjalanan emosinya dalam cerita itu memberi makna mendalam tentang keinsafan dan peluang kedua.
“Ini kisah tentang persahabatan, kekuatan dan keampunan. Manusia mungkin melakukan kesilapan, tetapi masih ada ruang untuk berubah,” katanya.
Doa Sang Pendosa mengisahkan liku kehidupan beberapa wanita di PUSPEN yang berdepan konflik dalaman dan cabaran hubungan sesama mereka, terutama ketika menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh keinsafan.
Telefilem ini bakal disiarkan pada 22 Mac 2026, pukul 3 petang di Astro Prima dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).










