LOS ANGELES: Bintang pop antarabangsa, Taylor Swift, dikhabarkan merancang perjalanan bulan madu mewah bersama pasangannya, Travis Kelce, selepas kedua-duanya sah bergelar suami isteri.
Menurut laporan media antarabangsa, pasangan itu telah menyusun itinerari perjalanan selama tiga minggu merentasi beberapa destinasi eksklusif di dunia.
Sumber terdekat memaklumkan, perancangan tersebut dibuat sejak beberapa minggu lalu sebagai usaha memberi ruang kepada mereka menikmati masa berkualiti bersama tanpa gangguan umum.
Difahamkan, Swift dan Kelce turut memaklumkan kepada keluarga serta rakan terdekat bahawa mereka akan menjauhkan diri daripada perhatian awam sepanjang tempoh tersebut.
Perjalanan itu juga menjadi keutamaan sebelum Kelce kembali menyertai musim baharu National Football League.
Antara destinasi yang bakal dikunjungi termasuk Bahamas sebagai lokasi permulaan, diikuti Lake Como, Paris, French Riviera dan Croatia.
Pasangan itu kemudian dijadualkan berkunjung ke sebuah pulau di Greece sebelum meneruskan perjalanan ke Singapore dan Australia.
Perjalanan romantik tersebut dijangka berakhir di Hawaii, bertepatan dengan persiapan Kelce menghadapi musim NFL akan datang yang dikatakan berpotensi menjadi musim terakhirnya.
“Ini adalah pengalaman sekali seumur hidup buat mereka untuk benar-benar menikmati kebersamaan sebelum kembali kepada komitmen kerja,” kata sumber.
Dalam perkembangan berkaitan, Swift dan Kelce dilaporkan telah mengikat tali pertunangan pada Ogos 2025 selepas hampir dua tahun menjalin hubungan.
Beberapa perincian majlis perkahwinan mereka turut mula tersebar kepada umum.
Menurut laporan Page Six, majlis perkahwinan pasangan sensasi itu dijangka berlangsung di Ocean House pada 13 Jun 2026.
Hotel mewah bersejarah di kawasan Watch Hill, Rhode Island itu dibina sejak 1868 dan pernah melalui kerja pemulihan antara 2005 hingga 2010.
Difahamkan, Swift sanggup menawarkan pampasan bernilai tinggi kepada pasangan lain yang telah menempah lokasi berkenaan pada tarikh tersebut.
Tarikh 13 Jun juga dianggap signifikan kerana angka 13 sering dikaitkan sebagai nombor bertuah bagi penyanyi berusia 36 tahun itu.
Selain itu, senarai pengiring pengantin wanita turut mencuri perhatian apabila membabitkan nama-nama terkenal seperti Selena Gomez, Gigi Hadid, Sabrina Carpenter dan Ashley Avignone.
Perkembangan ini sekali lagi menguatkan spekulasi bahawa majlis perkahwinan pasangan berprofil tinggi itu bakal menjadi antara acara hiburan paling dinanti-nantikan tahun hadapan.











