PETALING JAYA: Tidak terlepas mencari keberkatan ketika berpuasa, pelakon, Syamim Freida bersyukur berjaya khatam Al-Quran pada tiga malam terakhir bulan Ramadan.
Kata Syamim, momen istimewa itu menjadi lebih bermakna apabila ia jatuh pada tarikh yang sama dengan ulang tahun perkahwinannya yang ke-10z
“Pada malam ke-27 Ramadan, saya telah menyempurnakan khatam Al-Quran, dan ia jatuh ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10,” katanya di Instagram Story (Igs).
Menerusi hantaran tersebut, pelakon drama Setiaku Berdiri itu turut mendoakan agar bahtera yang dibina bersama suami, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Hajj mendapat keberkatan Ilahi.
“Alhamdulillah atas setiap nikmat, setiap ujian dan setiap detik yang membawa kami hingga ke tahap ini.
“Semoga Allah terus membimbing kami, melindungi kasih sayang kami dan mengurniakan keberkatan dalam kehidupan kami,” kongsinya.
Untuk rekod, Syamim mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Hajj pada 19 Mac 2016.










