Pelakon dan penerbit tersohor, Datuk Rosyam Nor, kini mengorak langkah dalam industri automotif dengan melancarkan SPANA, sebuah pusat servis motosikal berteraskan komuniti yang memperkenalkan konsep unik “Rider Jaga Rider”.
Pelancaran yang berlangsung di Semenyih itu bertujuan menjawab keperluan mendesak terhadap servis kenderaan dua roda yang telus, berkualiti dan mampu milik buat lebih 16 juta pemilik motosikal berdaftar di Malaysia.
Menurut Rosyam yang juga merupakan Pengerusi SPANA, inisiatif ini bukan sekadar sebuah bengkel biasa, tetapi merupakan satu gerakan komuniti untuk menyokong para penunggang, terutamanya pekerja ekonomi gig.
“Apabila seseorang rider tersadai di tepi jalan pada jam 3 pagi, ketika itulah kita faham nilai sokongan sebenar. Kami mahu setiap rider tahu, mereka tidak bersendirian,” katanya.
Tambah beliau, SPANA membawa standard servis bertaraf premium namun mengekalkan harga yang sangat kompetitif dan tidak membebankan golongan sasaran.
“Prinsip kami jelas iaitu ‘Servis Gaya T20, Harga B40’. Setiap pelanggan berhak mendapat layanan kelas pertama tanpa kos tersembunyi,” jelas beliau lagi.
Selain menawarkan fasiliti premium dan mekanik berpengalaman, SPANA turut memperkenalkan pakej keahlian tahunan pada kadar RM100 yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk bantuan kecemasan.
Sempena pembukaan rasminya, SPANA turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik termasuk peluang memiliki motosikal Yamaha Y16 pada harga RM88.88 menerusi Contest Video Terpaling Viral.
Datuk Rosyam menyasarkan untuk membina ekosistem sokongan menyeluruh untuk komuniti penunggang motosikal di seluruh Selangor dan Lembah Klang menjelang tahun 2027.










