KUALA LUMPUR: Bekas suami kepada pelakon popular, Nora Danish, Boss Ned tampil bersuara susulan kecaman warganet terhadap bekas isterinya di media sosial.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam talian, Boss Ned atau nama sebenarnya,Mohamed Nedim Mohamed Nazri, menegaskan tindakannya mempertahankan Nora bukan kerana masih belum melupakan hubungan mereka, sebaliknya atas dasar tanggungjawab sebagai lelaki yang pernah bergelar suami kepada pelakon tersebut.
Menurutnya, meskipun mengakui dirinya bukanlah seorang yang sempurna, dia tidak mampu berdiam diri apabila melihat bekas isterinya menjadi sasaran kecaman.
“Sebenarnya saya bukan baik sangat pun, tapi saya tak boleh tengok orang kecam bekas isteri saya. Kalau tak percaya, tanya sahaja dia. Dia kenal siapa saya.
“Jadi memang betul, saya akan lindungi dia habis-habisan,” katanya di Threads.
Bagaimanapun, Boss Nedd menjelaskan perlindungan itu ada batasnya dan dia akan berhenti campur tangan sekiranya Nora Danish kembali mendirikan rumah tangga.
“Kalau dia sudah berkahwin, saya akan berhenti. Itu sudah melibatkan urusan peribadi dia.
“Jadi kepada yang kata saya buat semua ini sebab tak boleh lupakan bekas isteri, itu tidak betul. Saya buat kerana saya seorang lelaki, lelaki yang pernah berkahwin dengan dia,” jelasnya lagi.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ada yang memuji sikapnya yang masih menghormati bekas pasangan, sementara sebahagian lain berpendapat perkara itu sepatutnya tidak lagi menjadi isu selepas perceraian.
Setakat ini, Nora Danish belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.










