KUALA LUMPUR: Aidilfitri tahun ini membawa makna yang berbeza buat pelakon popular, Mimi Lana apabila dia mengakui sedang melalui fasa emosi yang bercampur baur antara rasa syukur dan kehilangan.
Menerusi satu perkongsian yang menyentuh hati, Mimi meluahkan bahawa meskipun dirinya dikurniakan pelbagai nikmat oleh Allah SWT, namun dia turut diuji dengan kehilangan seseorang yang amat dinantikan untuk bersama-sama meraikan Syawal.
Kehilangan yang dimaksudkan kemungkinan merujuk kepada pemergian Allahyarham abangnya, Muhamad Sharul Affandy yang meninggal dunia pada Ramadan baru-baru ini.
“Raya kali ini terasa berbeza. Allah telah mengurniakan saya begitu banyak perkara, namun dalam masa yang sama, Dia mengambil seseorang yang benar-benar saya nantikan untuk sambut Raya bersama,” katanya di Threads.
Menurut Mimi lagi, pengalaman tersebut mengajarnya untuk menerima bahawa di sebalik kehilangan, masih wujud kasih sayang dan hikmah yang tersembunyi.
“Saya sedang belajar untuk menerima bahawa walaupun dalam kehilangan, tetap ada cinta. Walaupun dalam kesunyian, tetap ada makna,” ujarnya penuh keinsafan.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan turut menzahirkan rasa tawakal dan kepercayaan sepenuhnya terhadap ketentuan Ilahi.
“Saya percaya kepada-Mu, ya Allah. Perancangan-Mu sentiasa lebih indah, lebih mengetahui, dan lebih lembut daripada perancangan saya sendiri.
“Cuma nak cakap, rindu,” katanya ringkas namun penuh makna.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati peminat yang rata-rata turut menitipkan doa agar Mimi diberikan kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian hidup.
Sebelum ini, Mimi pernah berkongsi kisah mengenai arwah abangnya yang disifatkan seorang insan yang sangat baik.










