Puncak Gunung Kinabalu jadi saksi lamaran Syed Saddiq, Bella Astillah - Utusan Malaysia

Puncak Gunung Kinabalu jadi saksi lamaran Syed Saddiq, Bella Astillah

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan pertunangannya dengan Bella Astillah hari ini selepas melamar wanita berkenaan di puncak Gunung Kinabalu.

Perkhabaran gembira itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas namun penuh makna: “I asked, she said yes..  Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita.”

Menurut Syed Saddiq, detik lamaran tersebut berlaku dalam keadaan hujan lebat di puncak gunung tertinggi negara, sekali gus menjadikan momen berkenaan antara kenangan paling berharga dalam hidupnya.

“Lamaran di atas Gunung Kinabalu ketika hujan lebat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengimbas perjalanan hubungan mereka yang bermula sebagai rakan kerjasama profesional sebelum berkembang menjadi pasangan hidup. Jelasnya, kerjasama yang terjalin sebelum ini berjaya mengumpul lebih RM6 juta bagi membantu rakyat, di samping menyatukan hati mereka tanpa disedari.

“Bermula dengan kerjasama biasa yang akhirnya meraih lebih RM6 juta untuk rakyat, tanpa sedar turut menyatukan dua hati,” katanya.

Hubungan rapat antara kedua-dua mereka sebelum ini sering mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen, lebih-lebih lagi apabila mereka kerap dilihat bersama dalam pelbagai inisiatif kebajikan sehingga digelar sebagai ‘gandingan ideal’.

Syed Saddiq turut meluahkan rasa syukur atas perjalanan hubungan tersebut.

“Allah SWT sebaik-baik perancang,” ujarnya.

Sementara itu, ruangan komen hantaran berkenaan dibanjiri ucapan tahniah daripada orang ramai yang turut meluahkan kegembiraan apabila spekulasi dan doa mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Pertunangan tersebut sekali gus menamatkan teka-teki berbulan-bulan mengenai status hubungan pasangan berkenaan yang sebelum ini menjadi perhatian umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN