PETALING JAYA: Demi meleraikan kekeliruan orang ramai susulan status perkahwinannya bersama Marissa Dania Hakim, pempengaruh, Ahmad Aslam tampil membuat penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit selepas menghadiri prosiding mahkamah, semalam.
Tampil mewakili anak guamnya, peguam, Muhammad Anmar Yaser Ahmad Nazri menjelaskan bahawa pasangan itu telah melalui proses pendaftaran pernikahan mengikut undang-undang Malaysia.
“Saya diarahkan anak guam untuk memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan. Yang pertama mengenai bila Aslam membuat pendaftaran pernikahan.
“Adakah daftar lambat? Kalau ikutkan apa Aslam buat inilah proses yang paling cepat kami dapat laksanakan.
“Kalau ikutkan dia tidak boleh failkan apa-apa kes selepas daripada ini tapi kita berjaya,” katanya dalam sebuah video.
Dalam pada itu, Ammar juga menegaskan bahawa perkahwinan pasangan itu sah mengikut hukum syarak selain mengesahkan mereka sudah mempunyai sijil nikah meskipun bernikah di Songkhla, Thailand.
“Yang kedua, nikah berlaku di Thailand dah selesai. Tutup cerita di situ sebenarnya. Pernikahan ini sah mengikut hukum syarak.
“Ketiga, sijil nikah kita berjaya peroleh. Kalau tiada, kita tak dapat buat proses seterusnya,” katanya lagi.
Peguam yang mewakili Aslam itu memberikan kenyataan sedemikian menerusi sebuah video yang berdurasi 1 minit 45 saat ketika berada di sebelah anak guamnya.
Bagaimanapun, sepanjang sesi penjelasan itu Aslam memilih untuk mendiamkan diri dan menyerahkan segala kekeliruan dileraikan oleh peguamnya.
Semalam, Aslam dan Marissa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.
Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Pun begitu, Ammar memaklumkan mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan menangguhkan kes ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Untuk info, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023,
Perkahwinan tersebut turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi serta isteri kepada Aslam, Umisya Mazlan.
Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan.










