PEJAM celik, kini hampir 40 tahun penyanyi, Shima bertahan dalam dunia hiburan tanah air. Selama itu, peminat melihat jatuh bangun, air mata dan keringat anak jati Banting Selangor ini yang sampai kini berdepan pelbagai ujian.
Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman juga reda apabila diuji masalah kesihatan. Setiap hari dia bertarung dengan penyakit slip disc, bronkitis dan penyakit sendi osteoarthritis.
Mengalah bukan pilihan. Shima teruskan perjuangan hidup berbekalkan semangat dan kesedaran yang dia seperti orang lain, perlu terus mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
“Kalau dilihat pada segi luaran, memang saya ini nampak sihat sebab orang tidak melihat kesakitan yang saya tanggung.
“Saya menghidap slip disc, bronkitis dan osteoarthritis. Setiap bulan saya ke hospital untuk dapatkan bekalan ubat-ubatan agar sakit saya ini terkawal.
“Biasalah, pada usia saya sekarang, kesihatan sudah jadi tidak menentu. Saya terima sahaja keadaan ini.
“Saya pun bukannya muda lagi. Hormon dalam badan juga tidak seperti semasa muda dulu. Maka timbullah banyak penyakit. Saya sebenarnya hadapi apa yang kebanyakan wanita lalui,” katanya.
Penyanyi bersuara serak basah ini bersyukur kerana masih ada penganjur yang sudi menawarkan peluang membuat persembahan meskipun maklum dengan masalah kesihatan yang dialaminya kini.
Shima juga tidak menyangka dia menjadi pilihan HS Event & Entertainment untuk melengkapi barisan penghibur yang bakal membuat persembahan sempena Konsert amal Ijmal Cinta Ramadan 3.0 pada 14 Mac ini.
“Seorang rakan wartawan memaklumkan saya mengenai tawaran ini. Saya merupakan penerima sumbangan hasil kutipan konsert yang sama tahun lepas. Kali ini, saya diberi kepercayaan membuat persembahan. Alhamdulillah, ini rezeki di bulan mulia
“Saya anggap konsert ini istimewa kerana inilah peluang saya bertemu semula rakan seperjuangan dunia seni antaranya ahli Kopratasa, Sani Sudin dan Siso yang merupakan penerbit album pertama, kadua dan ketiga saya,” kongsinya.
Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang bakal dipentaskan di Saloma Kuala Lumpur turut menampilkan To’ Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy, Mamat, Kopratasa, The Rayhan dan Zack Kacamata.

PENYANYI MENANGGUNG KOS
Berkongsi mengenai tawaran persembahan, Shima meluahkan rasa kecewa terhadap penganjur yang tergamak menawarkan bayaran terlalu rendah kepada penyanyi lama.
Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan sikap tidak profesional pihak berkenaan yang memandang artis lama dengan sebelah mata.
“Pernah saya ditawarkan RM1500 untuk menyanyi banyak lagu. Tapi saya tolak secara baik.
“Kita sudah berada dalam tahun 2026, bukan lagi dalam era 90-an. Saya masih menyanyi, tapi saya terpaksa tolak bayaran yang tak munasabah.
“Penyanyi juga menanggung pelbagai kos, antaranya bayaran jurusolek dan menyewa baju untuk dipakai ketika membuat persembahan. Jadi tolong jangan pandang rendah penyanyi lama dengan memberi bayaran yang tak berbaloi,” tegurnya.









