KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi berpengalaman, Zul 2by2 berpendapat tiada sebarang kesalahan sekiranya golongan pempengaruh media sosial mahu menghasilkan lagu raya yang kini dilihat menjadi trend sejak kebelakangan ini.
Zul atau nama sebenarnya Zulkefli Majid, 54, berkata fenomena tersebut wajar dilihat secara terbuka selagi individu terbabit mempunyai minat serta kemampuan dalam bidang nyanyian.
Menurutnya, perkembangan teknologi dan platform digital ketika ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menghasilkan karya muzik tanpa mengira latar belakang.
“Saya sudah lama berada dalam industri muzik sejak 1994. Bagi saya, isu pempengaruh keluarkan lagu raya ini bergantung kepada kemampuan masing-masing.
“Sekarang ini sesiapa sahaja boleh keluarkan single. Tidak kira dia pempengaruh, penjual nasi lemak atau apa pun latar belakangnya, kalau pandai menyanyi, silakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Lagu Raya Kita Punya yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Kau Mawarku itu berkata kualiti sesebuah karya tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu penyanyi, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan pencipta lagu menghasilkan karya yang sesuai dengan penyanyinya.
“Sedap atau tidak sesebuah lagu itu bergantung kepada siapa yang hasilkan. Pencipta lagu perlu tahu kesesuaian penyanyi. Setiap penyanyi ada kekuatan dan kelemahan. Tugas komposer adalah mengurangkan kelemahan dan menonjolkan kelebihan mereka.
“Kalau lagu raya itu kurang sedap, jangan salahkan penyanyi atau pempengaruh, sebaliknya lihat siapa yang mencipta lagu tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lagu Raya Kita Punya turut menampilkan barisan selebriti dan personaliti popular seperti Maya The Girls, Chef Shah World, Madam Liza, Nadia Rozi dan Sifu Dr Rayyan.
Zul memaklumkan lagu ciptaan bersama Madi Mulyadi itu merupakan single kedua yang diterbitkan di bawah syarikat rakaman Fiz Star Empire.
“Lagu ini menampilkan enam penyanyi termasuk saya sendiri. Keistimewaannya, kami selitkan loghat Perak selain gabungan elemen rap, dangdut dan joget.
“Orang kata, biarlah meriah dalam satu lagu. Barulah benar-benar menceriakan suasana hari raya,” katanya.
Sementara itu, penerbit lagu berkenaan, Bonda Puteri Ryana, percaya Lagu Raya Kita Punya mempunyai keunikan tersendiri dan berpotensi menarik minat pendengar menjelang Aidilfitri.
“Lagu ini sangat ‘catchy’ dan mudah melekat di telinga walaupun baru dengar kali pertama. Saya sendiri cepat jatuh cinta dengan lagu ini dan berharap pendengar juga merasai perkara yang sama,” katanya.










