Niat baik gembirakan anak yatim dipertikai, Atikah Suhaime bidas netizen - Utusan Malaysia

Niat baik gembirakan anak yatim dipertikai, Atikah Suhaime bidas netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Mana anda tahu? Anda tidak berada di tempat mereka.”

Demikian kata pelakon, Datin Atikah Suhaime membidas kenyataan segelintir netizen yang mempertikai tindakannya meraikan majlis ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Lyla Mulan Teh bersama anak yatim, baru-baru ini.

Enggan niat baiknya disalah erti, Atikah turut menyangkal pendapat sesetengah netizen yang kononnya golongan anak yatim akan berasa sedih dan cemburu melihat kebahagian kanak-kanak lain yang memiliki ibu bapa.

“Sejujurnya anak-anak yatim ini mereka tidak ada pemikiran negatif seperti cemburu tengok orang ada ibu bapa. Malah mereka sangat gembira kalau dapat jemputan makan di luar untuk meraikan sambutan hari lahir.

“Anda (netizen) akan terkejut melihat bagaimana sikap positif mereka kerana mereka seorang yang suci. Kalau anda biasa buat CSR, anda akan tahu,” katanya di Instagram Story (Igs).

Pun begitu, pelakon drama Bila Hati Berbicara itu turut meluahkan rasa musykil terhadap pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian sedangkan dirinya hanya mahu berkongsi kegembiraan bersama mereka yang memerlukan.

“Tak pasti kenapa orang pertikaikan meraikan sambutan hari lahir dengan anak yatim. Saya ingatkan mereka akan gembira semua pulang bawa dengan hadiah hari jadi dan bukannya hanya beg cenderahati.

“Semua anak-anak balik dengan hadiah termasuk anak-anak kawan saya. Mulan suka berkawan, abang-abang dan kakak-kakak ni semua sangat friendly suka layan Mulan,” ujarnya.

Tidak melatah dengan kritikan tersebut, Atikah sebaliknya bersikap optimis dan berharap lebih ramai lagi golongan yang berkemampuan dapat mengadakan majlis sedemikian demi membuat golongan anak yatim gembira.

“Saya berharap kalau anda ada rezeki lebih jemputlah anak-anak yatim ini untuk raikan sama-sama. Jangan dengar orang cakap oh kasihan nanti mereka sedih.

“Percayalah mereka sentiasa menanti jemputan, bermain dan berbual bersama. Saya doakan anda semua murah rezeki supaya dapat kongsi rezeki bersama-sama,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads mempersoalkan tindakan aktres itu menjemput anak-anak yatim ke majlis ulang tahun kelahiran anaknya dan menganggap dia kurang peka terhadap perasaan mereka.

Untuk rekod, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Mulan yang kini berusia setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN