PENGISLAMAN besar-besaran di Sabah didorong oleh usaha strategik Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) untuk menyebarkan Islam kepada penduduk bukan Islam di seluruh negeri memuncak sekitar era 80-an.
Ketika itu, bekas vokalis kumpulan Raihan, Nazrey Johani yang berusia awal belasan tahun, mengikut jejak langkah kedua orang tuanya memeluk Islam.
Berkongsi kisah penghijrahan, Nazrey memaklumkan pada awal berdepan kesukaran berpindah agama disebabkan pegangan yang kuat terhadap agamanya sebelum itu.
“Ibu bapa saya memeluk Islam pada 1983, ketika itu berlaku pengislaman besar-besaran di kampung kami yang terletak di Ranau. Awalnya, saya menolak mengikut langkah mereka kerana keyakinan terhadap agama terdahulu, ketika itu agak kuat.
“Bukan mudah menukar agama. Dua minggu saya berdolak dalih, sukar membuat keputusan. Tetapi pada masa sama saya juga enggan melawan cakap ibu bapa.
“Ayah saya tetap mengarahkan saya belajar cara solat dan membaca al-Quran. Guru Al-Quran juga berasa hairan apabila saya datang ke rumahnya bersama beberapa rakan beragama Islam untuk menuntut ilmu kerana ketika itu, saya belum menjadi seorang Muslim.
“Katanya, beliau belum boleh mengajar saya disebabkan saya belum memeluk Islam. Jadi, saya sekadar menyaksikan rakan-rakan menuntut ilmu dalam keadaan saya yang masih celaru untuk membuat keputusan,” ceritanya.
Hidayah muncul tidak disangka-disangka. Menurut Nazrey, dalam sekelip mata Allah bukakan hatinya untuk memeluk Islam disaksikan guru al-Quran dan rakan-rakan yang datang bersamanya pada ketika itu.
“Namun dalam saya merenung ke arah kawan-kawan ketika itu, secara tiba-tiba hidayah datang. Hati saya tiba-tiba mudah menerima Islam, dan ketika itu jugalah saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan guru berkenaan.
“Saat mengucap dua kalimah syahadah itu, Allah tarik segala kekusutan yang saya tanggung selama dua minggu, hilang dalam sekelip mata, dada saya terasa tenang dan lapang. Itu adalah keajaiban melalui hidayah yang Allah berikan apabila kita benar-benar ikhlas memilih Islam sebagai panduan,” kongsinya.
SEMANGAT DAKWAH
Bercerita lanjut, Nazrey memaklumkan semangat berdakwah hadir sejak usianya belasan tahun lagi.
“Semangat saya untuk melakukan kerja-kerja dakwah membuak-buak. Bahkan saya aktif berdakwah ketika di sekolah menengah.
“Ketika menuntut di tingkatan satu, saya memperjuangkan pemakaian seluar panjang kerana ketika itu, pelajar lelaki tingkatan satu sehingga tiga di sekolah itu diwajibkan memakai seluar pendek. Sebagai Islam, saya tidak selesa dengan peraturan itu.
“Jadi, saya dan beberapa rakan lain melanggar peraturan sekolah dengan memakai seluar panjang. Namun tidak lama selepas itu, pihak sekolah akhirnya merombak peraturan dengan mewajibkan pelajar Muslim lelaki memakai seluar panjang,” ceritanya.
Dalam perkongsiannya, Nazrey turut menceritakan fasa berpindah ke semenanjung Malaysia untuk mendalami agama di sekolah pondok. Katanya, fasa mencabar itu mengajarkannya erti hidup berdikari.
“Saya berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian agama di sekolah pondok yang berlokasi di Perak. Itu adalah fasa yang mencabar, berkelana di negeri asing tanpa ditemani keluarga.
“Ibu bapa saya tidak berkemampuan untuk menghantar wang bagi perbelanjaan saya di sekolah pondok.
“Jadi, apa sahaja keperluan, selain makanan yang sudah disediakan pihak sekolah, pakaian, sabun mandi dibeli menggunakan wang hasil jualan minyak Atar, poster, majalah dan bermacam lagi.
“Saya masih ingat dalam tahun pertama pengajian, saya cuma memiliki dua helai seluar, dua helai jubah dan dua serban. Itulah pakaian yang akan saya basuh setiap hari untuk diulang pakai,” kongsinya lagi.

KENANGAN EDINBURGH 1997
Perbualan bersama Nazrey terarah kepada peristiwa-peristiwa menarik ketika beliau bersama Raihan satu ketika dahulu.
Antara pengalaman yang tidak dapat Nazrey lupakan adalah ketika Raihan pertama kali diundang membuat persembahan di luar negara adalah sekitar tahun 1997 sempena acara penutup Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Edinburgh, Scotland.
“Sebelum itu penganjur acara datang ke Malaysia untuk mencari artis membuat persembahan pada acara tersebut. Kami tidak menyangka, dalam ramai artis tempatan yang diperkenalkan, Raihan yang dipilih setelah mereka mendengar tiga lagu kami.
“Alhamdulillah, ketika berada di Edinburgh, kami amat terkejut sambutan yang diberikan orang di sana ketika itu. Menariknya, seluruh penonton bersama-sama menyanyikan Puji-Pujian meskipun tidak memahami lirik lagu tersebut,” ujarnya.

Turut beliau kongsikan adalah pengalaman bertemu serampang dua mata dengan Putera tertua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles dalam acara yang sama.
“Putera Charles meluangkan sedikit masa untuk di belakang pentas untuk menyantuni barisan artis yang membuat persembahan selepas acara tamat. Beliau juga sempat berbual panjang bersama kami, bertanyakan mengenai alat muzik yang kami mainkan.
“Katanya beliau dimaklumkan populariti Raihan di Malaysia setanding kumpulan Spice Girls, justeru beliau dalam nada berselorooh mencadangkan kami bekerjasama dengan kumpulan terkenal Britain itu.
“Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan akan meminta Ratu Elizabeth untuk bertemu Raihan sekiranya beliau tidak berkesempatan untuk datang ke Malaysia sempena Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.
“Ternyata beliau benar-benar mengotakan janjinya apabila Elizabeth meminta bertemu Raihan di Studio Synchrosound, Petaling Jaya ketika dia ke Malaysia pada tahun itu. Kami anggap sebagai satu penghormatan yang sangat besar buat kumpulan ini,” ceritanya.

Pada masa sama, Nazrey juga mengimbau kenangan membuat persembahan di Rusia pada awal tahun 2000 di mana ketika nama Raihan terkenal dalam kalangan penganut agama Islam di negara tersebut.
“Saya masih ingat betapa terkejutnya saya melihat poster kumpulan Raihan yang dibentangkan pada sebuah banggunan empat tingkat. Ketika itu ramai orang Islam di sana mengenali Raihan kerana lagu-lagu kami turut diperdengarkan dan dicetak di Rusia.
“Persembahan kami yang sepatutnya dipentaskan dalam stadium di Dagestan, dipindahkan ke sebuah masjid yang boleh memuatkan sehingga 2,000 orang disebabkan masih berlaku ketegangan di lokasi tersebut, tempat. Itulah antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” ujarnya.










