Kimbab tampil dengan ‘Drama Raya’, angkat kisah sebenar pagi raya - Utusan Malaysia

Kimbab tampil dengan ‘Drama Raya’, angkat kisah sebenar pagi raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Trio lawak popular, Kimbab yang dianggotai Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi kembali memeriahkan Aidilfitri tahun ini menerusi single terbaharu berjudul Drama Raya, sebuah lagu raya santai yang mengangkat kisah-kisah realiti masyarakat setiap kali menjelang pagi Syawal.

Menampilkan konsep segar dan menghiburkan, Drama Raya diinspirasikan daripada pelbagai situasi serta ‘drama’ yang hampir pasti dilalui ramai ketika Hari Raya.

Lagu ini turut menyentuh perubahan suasana sambutan Aidilfitri mengikut peredaran zaman.

Menurut Zulin selaku pencipta lagu dan penulis lirik, idea penghasilan karya tersebut tercetus daripada pengalaman seharian yang cukup dekat dengan realiti raya masa kini.

“Lagu ini terinspirasi daripada perkara yang sering kita hadapi terutama pagi raya. Daripada kuih tidak menjadi, baju tidak muat sehinggalah pelbagai situasi yang berlaku saban tahun. Saya percaya setiap orang ada ‘Drama Raya’ tersendiri, sebab itu muzik videonya sarat dengan kisah yang relatable,” katanya.

Mengangkat konsep ‘easy listening’ dengan melodi ‘catchy’, lagu itu turut mencuri perhatian apabila Maryam membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu, sekali gus menjadi kelainan utama karya berkenaan.

“Keistimewaan lagu ini apabila ada orang Korea yang siap berbahasa Melayu dan rap lagi. Memang mencabar untuk Maryam menghafal, terutama dari segi sebutan, tetapi dia sangat komited dan berlatih berkali-kali. Alhamdulillah, proses rakaman berjalan lancar kerana semua saling membantu,” tambahnya.

Keserasian trio ini bukan asing buat peminat selepas mereka mencipta nama menerusi program realiti, Muzikal Lawak Superstar. Hubungan yang terjalin sejak program itu terus kukuh sehingga kini.

“Keserasian kami sudah seperti isi dengan kuku. Sejak tamat program itu, kami sentiasa bersama dan ia banyak membantu sepanjang proses penghasilan lagu ini,” ujarnya.

Selain elemen komedi, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara milenial dan Gen-Z secara santai, sekali gus menggambarkan perubahan budaya raya tanpa mengetepikan nilai tradisi.

Zulin berharap lagu tersebut mampu menceriakan sambutan Aidilfitri peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.

“Semoga Drama Raya diterima baik dan menjadi lagu yang menceriakan raya peminat kami. Jika mendapat sambutan, mungkin ada sambungannya tahun depan. Insya-Allah lagu ini juga bakal menjadi lagu tema telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro,” katanya berseloroh.

Dengan gabungan humor, realiti kehidupan dan sentuhan rentak moden, Drama Raya dijangka menjadi antara pilihan baharu bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN