Jika mahu cakap negatif, cari ruang lain- Fattah Amin - Utusan Malaysia

Jika mahu cakap negatif, cari ruang lain- Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin, berharap warganet tidak sewenangnya melemparkan kata-kata negatif terhadap dia dan isterinya, Amira Othman, terutama ketika mereka sedang mengendalikan sesi siaran langsung di media sosial bagi tujuan perniagaan.

Menurut Fattah, komen berbaur negatif sering muncul ketika dia dan isteri sedang membuat siaran langsung untuk menjual barangan dan mencari rezeki.

“Macam yang berlaku baru-baru ini, komen negatif di media sosial, ketika itu saya sedang membuat siaran langsung untuk menjual barang dan mencari rezeki. Tiba-tiba ada komen yang tidak sepatutnya muncul. Kebanyakannya pula daripada akaun palsu.

“Saya hanya menasihatkan mereka bahawa ruang siaran langsung itu adalah untuk berniaga dan berinteraksi dengan pelanggan serta peminat, bukan untuk menulis perkara yang tidak baik. Jika ingin berkata perkara negatif, carilah ruang lain,”katanya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2026 di Hotel Pavillion di ibu negara, semalam.

Selain itu,bagi Fattah, teguran yang diberikan adalah secara terus terang agar mesej tersebut difahami oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang menuntut umat Islam menjaga tutur kata.

“Saya bercakap secara terus terang supaya orang faham. Tambahan pula dalam bulan puasa, sepatutnya kita bercakap perkara yang baik. Kadang-kadang memang perlu bercakap secara terus kerana jika berkias, ada yang tidak faham.

“Walaupun begitu, kalau masih ada yang menggunakan akaun palsu untuk menulis perkara negatif, itu terpulang kepada mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan. Kita hanya boleh menasihatkan dengan baik.

“Setiap perkara yang kita lakukan sebenarnya diperhatikan. Allah Maha Melihat. Jadi kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita katakan. Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita memang terasa dengan kata-kata orang. Tetapi apa yang boleh kita lakukan hanyalah bersabar,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Amira ada mengadu sedih atau kesal dengan tindakan segelintir warganet yang tidak beradab di media sosial, Fattah memberitahu dia telah menasihati isterinya itu agar terus bersabar.

“Saya selalu berpesan kepada Amira supaya bersabar. Allah menyukai hamba-Nya yang bersabar. Orang yang melakukan perkara tidak baik pasti ada balasannya suatu hari nanti.

“Kita sebagai manusia tidak perlu membalas perkara buruk dengan keburukan. Selagi kita melakukan perkara yang baik dan tidak membalas dengan perkara yang buruk, itu sudah memadai.

“Jika perkara itu melampaui batas, mungkin ada tindakan undang-undang yang boleh diambil. Tetapi setakat ini Amira tidak sampai menangis atau mengadu secara berlebihan. Dia cuma manusia biasa, sama seperti saya, kadang-kadang terasa juga. Namun akhirnya kami memilih untuk reda dan berserah kepada Allah,”katanya.

Dalam pada itu, pelakon ini juga berkata, dia dan isterinya lebih memilih untuk memberi perhatian kepada peminat yang sentiasa menyokong mereka berbanding melayan komen negatif.

“Bagi saya dan Amira, kami lebih memilih untuk menjaga hati peminat yang menyokong kami. Daripada memberi perhatian kepada komen negatif, lebih baik kami fokus kepada peminat yang mendoakan dan menghargai kami. Mereka sebenarnya jauh lebih ramai daripada segelintir yang memberi komen negatif.

“Jika terlalu fokus kepada perkara negatif, ia hanya akan mengurangkan tenaga dan membuatkan kita rasa down. Jadi kami tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Jika nampak komen yang tidak baik, kami akan menegur dan menasihatkan secara terus. Tetapi jika mereka masih tidak mahu berubah, itu terpulang kepada mereka,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN