KUALA LUMPUR: Penyanyi muda, Irfan Haris mengakui bakal melalui pengalaman berbeza apabila menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa kehadiran kakaknya, Amira Othman yang kini sudah berumah tangga.
Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman, 25, berkata, dia menerima perubahan tersebut dengan hati terbuka dan memahami tanggungjawab baharu kakaknya selepas bergelar isteri kepada pelakon, Fattah Amin.
Menurutnya, ketiadaan Amira pada pagi Syawal pertama bukanlah isu besar memandangkan mereka masih boleh berhubung melalui teknologi.
“Saya okay sahaja. Saya faham kakak sudah berkahwin dan perlu utamakan suami.
“Kalau tak dapat berjumpa pada hari raya pertama, kami masih boleh berhubung melalui panggilan video. Lagipun kakak bukan beraya jauh,” katanya.
Mengulas mengenai soal jodoh, Irfan berkata, dia belum terfikir ke arah itu dan mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya nyanyiannya.
“Buat masa sekarang saya fokus kepada kerjaya. Soal jodoh mungkin belum lagi kerana usia saya pun baru 25 tahun.
“Doakan saya dapat terus menghasilkan lagu yang baik dan berkualiti,” ujarnya.
Sementara itu, Amira turut berkongsi perubahan yang dilaluinya selepas bergelar isteri, termasuk perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, jika sebelum ini dia sentiasa beraya bersama keluarga sendiri, namun tahun ini giliran keluarga suaminya menjadi keutamaan.
“Setiap tahun saya beraya dengan keluarga, tetapi kali ini ada sedikit perubahan.
“Kebetulan adik akan berkahwin pada bulan Syawal, jadi kami sepakat untuk beraya dengan keluarga Fattah terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung di Johor,” katanya.










