Golf ubah cara Julia Farhana berfikir - Utusan Malaysia

Golf ubah cara Julia Farhana berfikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik dunia seni yang penuh dengan sorotan lensa kamera serta jadual kerjaya yang padat, pelakon, Julia Farhana menemui ketenangan diri di padang golf yang luas terbentang.

Menurut Julia, padang golf bukan sekadar lokasi riadah, tetapi ruang peribadi untuk kembali mengenali diri selain menggamit memori manis bersama arwah bapa tersayang.

“Padang golf tempat di mana dunia terasa sunyi dan tenang. Di sebalik kehidupan kerjaya yang sangat sibuk, padang golf membuatkan saya kembali kepada diri sendiri.

“Dalam masa sama, permainan ini sendiri bersifat sentimental buat saya kerana sejak kecil, saya selalu melihat arwah bapa saya bermain golf. Tetapi kami tidak sempat bermain bersama.

“Selepas dia meninggal dunia, saya mula bermain golf dan setiap kali berada di padang, saya rasa seperti meluangkan masa bersamanya secara tidak langsung membuat saya rasa dekat dengannya,” katanya kepada Pancaindera.

Ibarat jatuh cinta pandang pertama, minatnya terhadap sukan itu terus dipupuk setelah dirinya dikelilingi rakan-rakan yang turut berkongsi hobi yang sama.

Pun begitu, pelakon tinggi lampai itu menyifatkan sukan tersebut banyak mengubah caranya berfikir, terutama daripada segi kesabaran, kawalan emosi dan ketahanan diri.

“Tahun pertama berkecimpung dalam sukan ini sangat mencabar. Banyak kegagalan, banyak rasa kecewa yang saya rasakan. Tetapi golf mengajar saya sesuatu yang sangat bermakna di mana kita tidak boleh memaksa keputusan.

“Kita perlu kekal tenang, membuat penyesuaian dan cuba lagi. Golf mengubah cara saya berfikir. Ia mengajar saya tentang kesabaran, kawalan emosi dan ketahanan diri, yang kemudian saya terapkan dalam aspek lain kehidupan.

“Sama ada di tempat kerja, dalam pelajaran atau menguruskan perniagaan, kita sentiasa perlu tahu menyesuaikan diri,” jelasnya.

Sering dilabel sebagai sukan elit, pelakon berusia 34 tahun itu bagaimanapun melihat persepsi itu dari sudut berbeza.

“Saya tidak bersetuju bahawa golf hanya untuk orang kaya sahaja. Di Malaysia, kita sangat bertuah kerana ada padang serendah RM50 dan banyak pilihan bawah RM200.

“Apabila saya bermain di luar negara, kebanyakannya bermula sekitar RM300 hingga RM500 untuk satu pusingan 18 lubang. Tidak dinafikan sukan ini memerlukan pelaburan awal terutamanya untuk set kayu golf pertama. Itu biasanya merupakan pelaburan terbesar.

“Selepas itu, semuanya bergantung kepada bagaimana kita merancang sama ada mencari lapang sasar (driving range) atau home course yang sesuai dengan bajet dan berlatih secara konsisten,” kongsinya.

Tambah pelakon drama Takdir Cinta Terlarang itu, definisi ‘kaya’ yang dipamerkan dalam permainan golf bukan daripada segi kewangan, sebaliknya disiplin, kesabaran serta adab.

“Golf mengajar tentang etika, ketenangan dan rasa hormat. Kita belajar bagaimana membawa diri, bagaimana kekal tenang di bawah tekanan, serta menghormati orang lain dan permainan itu sendiri.

“Sebenarnya saya suka dengan persepsi itu kerana golf secara semula jadi membina karakter dan keanggunan. Pada saya, golf bukan lagi tentang status tetapi tentang cara kita berfikir,” kongsinya.

Selesa bermain sukan itu secara berseorangan atau bersama kenalan rapat dalam kelompok yang kecil, Julia mengakui dirinya masih mencari komuniti atau golf untuk disertai.

Pada masa sama, Julia memaklumkan dia bakal menyertai kejohanan permainan golf buat kali kedua di The Els Club Desaru Coast, Julai ini.

“Saya tidak gemar bermain dalam kumpulan besar. Hobi ini memberi ruang untuk saya menjadi seorang introvert dan saya menyukainya. Sebagai pelakon, saya perlu menjadi sangat ekstrovert.

“Jadi sebagai pemain golf, biarlah saya menjadi introvert. Tetapi apabila menyertai kejohanan golf, saya kembali menjadi ekstrovert. Saya akan menyertai kejohanan kedua saya pada Julai ini di The Els Club Desaru Coast,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN