Empat tahun menanti, Taylor Lautner dan isteri bakal timang cahaya mata

Empat tahun menanti, Taylor Lautner dan isteri bakal timang cahaya mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES:  Bintang filem Twilight, Taylor Lautner, berkongsi berita gembira apabila isterinya, Taylor Dome, kini hamil anak pertama selepas penantian selama empat tahun.

Perkhabaran itu diumumkan Lautner menerusi akaun Instagram peribadinya dengan memuat naik beberapa foto berlatarbelakangkan padang rumput yang indah dengan salah satu gambar memperlihatkan dia mencium perut isterinya, manakala Dome turut berkongsi imej imbasan ultrabunyi (USG) bayi dalam kandungannya.

“Apa yang lebih baik daripada dua Taylor Lautner?” tulis pelakon itu dalam kapsyen, merujuk kepada namanya dan isterinya, semalam.

Untuk rekod, dalam budaya masyarakat Barat khususnya di Amerika dan Eropah, wanita kebiasaannya mengambil nama keluarga suami selepas berkahwin. Justeru, Taylor Dome kini dikenali sebagai Taylor Lautner.

Malah, sekiranya anak mereka kelak turut diberikan nama depan yang sama, nama penuhnya berkemungkinan menjadi Taylor Lautner Jr., sekali gus mencetuskan situasi unik dalam keluarga tersebut.

Permainan kata yang dikongsikan Lautner itu berjaya mencuit perhatian netizen yang turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta gurauan.

“Ada baiknya anak mereka dinamakan Taylor juga. Pasti sangat comel!” tulis seorang pengguna media sosial.

“Saya turut gembira! Tahniah buat kalian berdua. Tidak sabar melihat perjalanan anda sebagai ibu bapa!” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Pasangan ini difahamkan mula berkenalan pada tahun 2018 melalui adik Lautner sebelum mengumumkan hubungan mereka kepada umum pada tahun yang sama menerusi foto Halloween.

Selepas lamaran romantik pada 2021, mereka sah bergelar suami isteri pada November 2022 dalam sebuah majlis yang mencuri perhatian ramai, terutama kerana kedua-duanya kini berkongsi nama yang sama.

Dome juga dikenali sebagai individu yang mesra dan mempunyai hubungan baik dengan bekas kekasih Lautner, iaitu penyanyi terkenal Taylor Swift.

Menariknya, pasangan itu pernah muncul dalam video muzik lagu I Can See You (2023) milik Swift, yang turut dikaitkan dengan pemain NFL, Travis Kelce. Mereka juga pernah mencipta momen lucu dengan meniru meme Spider-Man bersama Swift kerana berkongsi nama yang sama.

Keharmonian rumah tangga Lautner dan Dome sering menjadi perhatian peminat yang menganggap mereka sebagai pasangan ideal atau couple goals, lebih-lebih lagi kerana hubungan mereka bebas daripada kontroversi.

Kini, selepas empat tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan tersebut bakal menimang cahaya mata pertama.

Jika anak mereka kelak benar-benar dinamakan Taylor, keluarga itu bakal mencipta sejarah unik dengan memiliki tiga individu bernama Taylor Lautner dalam satu keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN