Penyanyi sensasi Baby Shima mengakui kehidupannya sebagai figura awam tidak pernah sunyi daripada kecaman netizen.
Namun selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai kontroversi, penyanyi itu berkata dirinya kini semakin kebal menerima kritikan yang datang dari pelbagai arah.
Terbaharu, Shima mendedahkan dia sekali lagi menjadi sasaran kecaman hanya kerana kehadirannya di sebuah bazar Ramadan.
Menurutnya, situasi tersebut berlaku ketika dia menemani seorang kenalan untuk membeli minuman di bazar berkenaan, namun keadaan menjadi salah faham apabila ada pihak menganggap kehadirannya mengganggu perniagaan orang lain.
“Baru-baru ini saya pergi ke bazar pun kena kecam juga. Ada yang cakap saya mengganggu perniagaan orang. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat sampai dianggap begitu. Waktu itu saya hanya menemani seorang kenalan untuk membeli air dan menolong dia membeli minuman.
“Kebetulan masa itu orang agak ramai di situ. Ada yang memerhatikan saya dan mungkin merasakan diri mereka tidak dilayan. Dari situ mereka anggap kehadiran saya seolah-olah mengganggu keadaan di bazar tersebut.
“Sedangkan niat saya hanya ingin membantu. Malah keluarga peniaga itu sendiri ada mengucapkan terima kasih kerana datang membeli dan menyokong perniagaan mereka.
“Mereka beritahu beberapa hari sebelum itu perniagaan agak perlahan. Jadi bila perkara seperti itu berlaku, saya pun fikir, apa sahaja yang saya buat tetap akan diperkatakan. Jadi tidak mengapalah, orang nak cakap apa, cakaplah,”katanya.
Menurut penyanyi itu, pengalaman tersebut sedikit sebanyak membuatkan dirinya berasa bimbang untuk berada di tempat awam kerana risau kehadirannya akan terus disalah tafsir oleh segelintir pihak.
“Selepas kejadian itu, saya rasa macam tidak mahu pergi ke bazar lagi. Ada rasa takut juga sebenarnya untuk pergi ke mana-mana tempat. Kadang-kadang terfikir, macam saya ini tidak boleh ke sana dan ke sini.
“Memang penat sebenarnya menjaga ‘Baby Shima’ ini. Penat sebab selalu jadi sasaran kecaman netizen. Tetapi kadang-kadang saya okey sahaja. Penat itu kita tidak boleh terlalu melayan sangat. Cuma kadang-kadang terbaca juga komen-komen di media sosial.
“Kadang-kadang tidak sengaja terbaca, tiba-tiba rasa, alamak, terbaca pula,”ujarnya.
Walaupun pernah berasa tertekan dengan kecaman netizen suatu ketika dahulu, Shima mengakui dirinya kini jauh lebih kuat dan semakin lali dengan situasi tersebut.
“Kalau dulu, bila terbaca komen memang rasa stres. Rasa sedih dan rasa down juga. Tetapi sekarang Alhamdulillah saya rasa sudah kebal sedikit. Orang kata sudah lali dengan kecaman.
“Sebenarnya kalau boleh memang tidak mahu baca komen. Tetapi sekarang saya rasa lebih kuat berbanding dahulu. Proses untuk jadi kebal itu mengambil masa juga, mungkin lebih setahun.
“Dulu memang pernah menangis sebab tidak biasa dengan kecaman. Bila baca komen rasa takut. Tetapi lama-kelamaan kita belajar untuk kuatkan diri. Sekarang Alhamdulillah, semuanya semakin okey,”luahnya.

Dalam masa sama, penyanyi itu turut menjelaskan mengenai kontroversi melibatkan lagunya berjudul Masuk Lagi yang sebelum ini didakwa sesetengah pihak mempunyai maksud berunsur ‘double meaning’.
Menurut Baby Shima, tanggapan tersebut sebenarnya berpunca daripada salah faham terhadap lirik lagu berkenaan yang menceritakan tentang perjalanan rombongan meminang.
“Sebenarnya lagu ‘Masuk Lagi’ itu tidak mempunyai maksud seperti yang didakwa. Lirik lagu itu menceritakan tentang perjalanan seseorang menuju ke rumah seseorang untuk melamar atau masuk meminang.
“Liriknya sendiri jelas. Jadi keseluruhan cerita dalam lagu itu adalah mengenai perjalanan rombongan yang datang untuk meminang. Tidak ada apa-apa maksud lain pun seperti yang diperkatakan,”katanya.
Tambahnya, dia memilih untuk tidak terlalu memberi respon ketika isu tersebut hangat diperkatakan kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang.
“Orang selalu cakap kalau sesuatu isu itu sedang panas, kalau kita bersuara lagi mungkin orang akan lebih marah. Jadi saya pilih untuk diam sahaja. Tambahan pula sekarang bulan Ramadan, saya lebih selesa untuk bertenang.
“Kita tidak boleh menutup mulut orang. Jadi saya tidak kisah kalau ada yang mahu bercakap apa pun. Mungkin pandangan orang berbeza-beza terhadap lirik lagu itu. Tetapi apa yang saya tekankan, lagu tersebut memang mengenai perjalanan masuk meminang. Kalau tengok video muzik pun sebenarnya sudah jelas jalan ceritanya,”ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Baby Shima turut berkongsi
perancangannya untuk kembali merakamkan beberapa lagu baharu pada tahun ini.
Katanya, karya yang bakal dihasilkan nanti akan lebih mudah difahami bagi mengelakkan salah tafsir dalam kalangan pendengar.
“Untuk tahun 2026 memang ada perancangan untuk merakamkan beberapa lagu baharu. Kali ini mungkin saya akan pilih lagu yang lebih jelas supaya orang lebih mudah faham.
“Kadang-kadang ada sesetengah orang tidak begitu memahami lirik lagu. Jadi mungkin selepas ini saya akan pilih lagu yang lebih terus atau ‘direct’. Jadi pendengar pun lebih mudah menangkap maksud yang ingin disampaikan,”katanya menutup bicara.










