KUALA LUMPUR: Kasih seorang suami terhadap isterinya tidak pernah pudar walaupun insan tersayang itu telah pergi menghadap Ilahi.
Itulah yang dirasai pelakon veteran, Harun Hashim, 70, yang mengakui sehingga kini masih meneruskan rutin hariannya menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Sakinah Ganjali yang meninggal dunia pada November 2024.
Menurut Harun, kehilangan isteri tercinta masih terasa sehingga hari ini, lebih-lebih lagi selepas hampir dua tahun hidup bersendirian.
“Saya sudah dua tahun berseorangan di rumah. Setiap hari saya akan pergi ke kubur isteri saya sebab rumah saya dekat dengan tanah perkuburan itu.
“Saya sayang dia. Orang nak kata apa pun, katalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, keputusan memilih kediaman berhampiran tanah perkuburan dibuat bagi memudahkan dirinya menziarahi pusara arwah setiap hari.
“Saya memang cari rumah dekat dengan kubur supaya senang saya ziarah. Tetapi kalau penggambaran sampai malam, saya tak pergilah. Takkan mahu ke kubur waktu malam,” ujarnya.
Mengimbau kenangan bersama arwah, Harun berkata mereka hampir tidak pernah berpisah sepanjang hidup bersama.
“Ke mana-mana kami pergi berdua. Saya yang memandu, dia pula bantu tengok arah guna Waze sebab saya pelupa. Jadi dia memang kena ada dengan saya.
“Sampai sekarang pun baju dia masih dalam kereta. Bantal dia pun saya tak angkat,” katanya.
Allahyarham Sakinah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 21 November 2024 akibat kanser payudara tahap empat.
Malah, demi kasih terhadap isterinya itu, Harun sebelum ini pernah berkongsi kesanggupannya berpindah rumah ke kawasan yang lebih dekat dengan tempat arwah disemadikan.
Dalam pada itu, Harun turut meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa walaupun berdepan beberapa masalah kesihatan.
“Alhamdulillah, saya masih berpuasa walaupun jalan agak bergoyang. Saya tiada masalah gastrik, cuma ada darah tinggi, kolesterol dan lutut agak lemah.
“Tapi saya masih boleh berjalan. Kalau ada penggambaran, orang datang ambil dan hantar balik sebab saya pun kadang-kadang sudah lupa jalan.
“Dialog pun orang bagi dan saya ikut sahaja apa yang ‘assistant director’ suruh. Memang saya sudah banyak lupa, tapi kalau ada yang sanggup ajar dialog, saya akan buat,” katanya.
Harun kini tampil dalam drama berjudul Luka Dalam Rindu yang disiarkan di TV Alhijrah.
Beliau merupakan antara penggiat seni yang menerima sumbangan pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Yayasan Prihatin.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan serta bagi menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berdepan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.
Antara penerima lain ialah Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Shamsul Ghau Ghau.










