Dr. Fie nafi sudah dirisik, mahu nikmati kehidupan solo - Utusan Malaysia

Dr. Fie nafi sudah dirisik, mahu nikmati kehidupan solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah menafikan dakwaan kononnya dirinya sudah dirisik atau bertemu calon pasangan hidup baharu.

Wanita yang mesra disapa Dr. Fie, 37, menegaskan bahawa dia masih belum terfikir untuk kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dan mahu menikmati terlebih dahulu kehidupan sebagai wanita solo.

Menurutnya, tiada sebarang pertemuan rasmi atau lamaran yang berlaku setakat ini, meskipun spekulasi tersebut hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Siapa yang merisik saya? Janganlah begitu. Kalau merisik dalam media sosial mungkinlah, tetapi secara formal memang tidak.

“Tiada apa-apa lagi setakat ini. Semuanya masih terlalu baharu, jadi biarlah saya menikmati kehidupan solo terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Rakaman Raya Melodi 2026, baru-baru ini.

Tambah Dr. Fie, spekulasi tersebut mungkin timbul kerana ramai yang beranggapan tempoh idahnya sudah berakhir.

“Saya rasa mungkin sebab mereka fikir saya sudah habis idah. Dulu tidak pula timbul cerita begini, kebelakangan ini sahaja.

“Namun tidaklah sampai ada yang datang ke rumah untuk berjumpa keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Fie mengakui menerima banyak mesej daripada individu yang cuba mendekatinya menerusi media sosial, namun dia agak skeptikal dengan cara tersebut.

“Biasalah di media sosial, semua orang boleh cuba berkenalan. Cuma saya kurang percaya jodoh yang bermula di media sosial.

“Tetapi kalau sudah ditakdirkan oleh Allah, bertemu dalam media sosial sekali pun kita tidak boleh menafikannya,” katanya.

Mengulas lanjut, pengalaman berumah tangga sebelum ini menjadikan doktor bertauliah itu lebih berhati-hati sebelum membuka hati kepada hubungan baharu.

“Apabila sudah melalui pengalaman berpisah, kita jadi lebih berhati-hati.Namun bukanlah bermakna saya menutup terus pintu hati. Buat masa sekarang saya terbuka sahaja, kalau ada yang mahu berkenalan tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, Dr. Fie mendirikan rumah tangga dengan Nubhan pada 29 Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada Disember tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aaafiya, 9, Ahamad Aafan, 7, dan Afzan Nayille yang kini berusia empat tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN