PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Betty Rahmad menafikan dirinya bersikap biadab terhadap seorang pekerja wanita di sebuah booth jualan ketika menghadiri festival di Singapura, baru-baru ini.
Menurut Betty, kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik kedai itu berbeza sama sekali dengan situasi sebenar bahkan, ia merupakan tuduhan tidak berasas dan mampu menimbulkan fitnah serta salah faham ramai pihak.
“Menerusi video yang pemilik kedai itu buat sangat berbeza dengan cerita sebenar, tidak berasas, menimbulkan fitnah, syak wasangka, senario yang berbeza dengan cerita yang saya cerita sekarang.
“Apa yang pemilik kedai itu beritahu adalah saya pergi ke kaunter dan cakap ‘saya nak ini’ dalam keadaan memekik. Tetapi tak ada cerita situasi selepas itu mahupun sebelumnya,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok sebentar tadi.
Jelas Betty, situasi tersebut berlaku sewaktu dia dan rakannya yang dikatakan seorang introvert sedang berbual ketika mahu membeli belah di gerai berkenaan.
Malah, dia menegaskan dirinya tidak berniat sama sekali mahu berkasar dengan pekerja di kedai tersebut.
“Kawan saya seorang yang introvert dan air mukanya tampak sombong. Sewaktu berada di sana, dia minta saya temankan dia untuk jalan-jalan dan membeli belah.
“Tiba di kedai tersebut, dia mahu membeli barang yang dipilih tetapi tidak tahu untuk minta pada pekerja di kedai tersebut. Jadi saya ajar dia cara untuk bercakap ‘saya nak ini’.
“Dia tidak boleh berdiri saja tunggu orang datang pada dia. Saya percaya kalian ada seorang kawan yang jenis macam ini.
“Yang introvert, tak tahu nak bercakap. Tapi demi Allah, bulan Ramadan, saya tidak pekik. Saya tidak jerit pada pekerja wanita itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, adik kepada pengarah Erma Fatima itu tetap memohon maaf sekiranya tindakannya secara tidak sengaja mengguris hati pekerja terbabit.
“Kalau saya ada buat pekerja wanita itu terguris hati, saya betul-betul minta maaf,” ujarnya lagi.
Sebelum ini tular sebuah video dimuat naik oleh seorang usahawan yang dikenali sebagai Alif meluahkan rasa berang terhadap sikap biadab Betty yang didakwa meninggikan suara ketika mereka sama-sama terlibat dalam sebuah festival jualan di Singapura.










