PETALING JAYA: Adik kepada penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, Raf Yaakob kesal dengan tindakan abang kepada seorang selebriti yang didakwa berhutang dengannya.
Menurut Raf, individu tersebut bukan sahaja gagal melangsaikan hutang, malah bertindak memanipulasikan keadaan dan menuduh dirinya yang berhutang.
“Abang kepada seorang artis ini berhutang dengan saya, tetapi dia beritahu orang ramai kononnya saya yang berhutang dengan dia.
“Siap cakap saya banyak hutang dengan orang. Bila ajak berjumpa untuk selesaikan, dia tak mahu. Apa yang patut saya buat?,” katanya di Threads.
Selain abang kepada selebriti tersebut, Raf memaklumkan terdapat beberapa lagi individu yang berhutang dengannya di mana jumlah keseluruhannya mencecah 1 juta ringgit.
Meskipun tidak mendedahkan individu yang terlibat, selebriti media sosial tersebut menganggap perkara itu sebagai satu penganiayaan ke atas dirinya.
“Ini baru satu pihak. Kalau campur dua lagi pihak yang berhutang dengan saya, nilainya sudah lebih sejuta. Saya akan selesaikan satu persatu. Berani kerana benar.
“Bukan saya sengaja beri pinjam, tetapi saya rasa dianiaya. Individu itu sendiri mengaku salah dan berjanji untuk bayar semula, namun sehingga kini masih belum ditunaikan,” ujarnya.










