KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab yang menjual slot tempahan restoran milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming baru-baru ini.
Menurut Daiyan, 33, perkongsiannya mengenai insiden tersebut bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan individu yang tidak dikenali di media sosial.
Katanya, slot tempahan restoran Rembayung itu dibeli daripada seorang individu bernama Dayang menerusi platform Threads.
“Sebenarnya sejak awal lagi saya sudah berasa ragu-ragu, tetapi kami mengambil pendekatan 50/50. Kalau benar berlaku penipuan, kami bercadang untuk makan di restoran lain sahaja.
“Namun akhirnya memang sah kami ditipu. Nama individu itu Dayang dan saya masih menyimpan nombor akaunnya. Apabila diperiksa semula, akaun Threads miliknya juga sudah tidak wujud,” katanya.
Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada majlis rakaman program Melodi Raya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Daiyan berkata kerugian dialaminya tidak besar iaitu sekitar RM120, namun dia lebih bersimpati terhadap individu lain yang mungkin datang dari jauh semata-mata untuk menikmati hidangan di restoran berkenaan.
“Kerugian saya sekitar RM120 sahaja. Saya tidak terlalu marah, cuma rasa kasihan kepada mereka yang mungkin membawa ibu bapa atau datang dari negeri jauh seperti Kelantan atau Perlis untuk makan di Rembayung tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan.
“Saya juga tertanya-tanya bagaimana seseorang sanggup melakukan perkara sebegitu pada bulan Ramadan. Itu satu dosa yang perlu ditanggung,” ujarnya.
Tambah Daiyan, pada awalnya dia tidak bercadang untuk berkongsi perkara tersebut kepada umum, namun berbuat demikian bagi memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya.
“Pada hari biasa pun perkara seperti ini tidak wajar berlaku, apatah lagi dalam bulan Ramadan,” katanya.
Terdahulu, Daiyan memuat naik sebuah video di media sosial yang memaparkan dirinya bersama pasukan produksi menjadi mangsa penipuan selepas membeli slot tempahan restoran Rembayung daripada individu berkenaan.
Dalam perkongsian itu juga, Daiyan sempat berseloroh meminta Khairul Aming membantu ‘menangkap’ individu yang didakwa melakukan penipuan tersebut.










