BERKAHWIN baharu selepas hampir setahun mengumumkan perceraian, penyanyi, Hafiz Suip yakin tindakannya membuka hati kepada kehidupan baharu bersama isterinya, Fiona Safiyya sebagai takdir yang telah disusun indah oleh Allah. Malah, apa yang paling penting, hasrat baiknya itu turut dipersetujui arwah ibunya, Allahyarham Halizawati HM Salleh semasa dirinya masih hidup.
Menjawab kegusaran segelintir pihak yang menyifatkan dirinya terlalu cepat ‘move on’ atau mencari pengganti, Hafiz tidak melatah sebaliknya memberi gambaran ‘perpisahan’ sebenar dengan bekas isterinya Nureffy Jasreel Abdullah sudah dirasai lebih lama daripada tarikh perceraian dikongsikan.
“Sebenarnya bukannya saya cepat sangat move on. Benda (perpisahan) itu sudah lama berlaku, cuma saya tidak ceritakan kepada umum. Saya hadap sendiri selama ini. Saya kemam sahaja kesedihan itu sambil tersenyum di depan orang ramai,” luah Hafiz ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Baginya, tempoh masa bukanlah ukuran mutlak dalam menentukan bila seseorang itu bersedia untuk bangkit semula. Hafiz mengakui bahawa dia telah melalui fasa duka yang cukup panjang sebelum akhirnya dipertemukan dengan Fiona, yang juga melalui jalan hidup yang sama dengan Hafiz apabila sama-sama pernah melalui proses perceraian.
“Status saya sebagai public figure memang meletakkan saya selalu dalam perhatian. Namun, hanya saya yang tahu bila masanya untuk kembali mencari kebahagiaan. Tuhan itu Maha Adil, Dia tahu bila hamba-Nya memerlukan teman untuk terus melangkah,” katanya.
Bercerita mengenai kisah pertemuan, dia dan Fiona pada asalnya bertemu di sebuah kedai makan apabila wanita itu menyanyikan lagu tersebut di premis berkenaan. Kebetulan, ketika itu Hafiz sedang mencari penyanyi untuk menggantikan Adira untuk konsertnya di Sarawak.
“Masa itu Adira tidak dapat buat. Saya tengah lepak, tiba-tiba terdengar suara seorang perempuan menyanyi lagu Ku Akui. Sedap sangat suaranya. Saya terus tanya pemilik kedai, rupanya Fiona sudah bernyanyi lama dengan nama Fiona John,” katanya.
Bagi Fiona yang merupakan etnik Bidayuh, memulakan kembali hidup selepas lima tahun bergelar ibu tunggal bukanlah satu keputusan yang boleh diambil dalam sekelip mata. Namun, kehadiran Hafiz membawa sebuah rasa yang berbeza.
“Jujur saya cakap, nak mula semula itu bukan sesuatu yang mudah. Terutamanya saya ada anak-anak, bukannya masih single. Banyak benda yang perlu difikirkan terutamanya masa depan dan penerimaan mereka.
“Alhamdulillah, bila jumpa dia, benda itu (kebimbangan) seolah-olah hilang. Dia boleh terima saya dengan anak-anak seadanya. Begitu juga saya, saya melihat keikhlasan dia dalam membina hubungan ini,” tambah Fiona lagi.
Malah, Hafiz terharu apabila anak-anak Fiona sudah mula menunjukkan rasa sayang yang mendalam terhadap anak-anaknya hasil perkahwinan terdahulu. Keharmonian ini menjadi penguat semangat buat Hafiz untuk menetap terus di Kuching.
“Alhamdulillah, anak-anak kami bergaul sangat baik. Nak tidur sekali. Saya rasa Allah mudahkan jalan ini sebab niat kami baik untuk membina sebuah keluarga,” katanya.
Kini, Hafiz sedang menikmati fasa tenang. Kehadiran Fiona dianggap sebagai pelengkap kepada kekosongan jiwa yang ditinggalkan oleh pemergian ibunya. Baginya, Allah itu Maha Adil dalam mengatur pertemuan dan perpisahan.
“Tuhan bagi kesedihan, tapi dalam masa yang sama Dia bagi kebahagiaan. Tahun ini raya saya bakal meriah sebab isteri saya berbangsa Bidayuh. Kami akan sambut Gawai, Krismas, malah Chinese New Year pun ada dalam keluarga ini.
“Apa yang lepas itu biarlah berlalu. Kita ambil sebagai pengajaran untuk memperbaiki kehidupan yang seterusnya. Sistem sokongan itu sangat penting, dan sekarang saya sudah temui apa yang saya perlukan,” katanya.
Terdahulu pada Februari, Hafiz dan Fiona selamat diijabkabulkan dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya, Kuching.
Sebelum ini, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel pada 2016 sebelum sah bercerai pada Mei tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 6.
Fiona yang berbangsa Bidayuh pula pernah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Cina dan dikurniakan tiga cahaya mata. Mereka dilaporkan berpisah kira-kira lima tahun lalu.










