Bulan puasa atau tidak puasa, pendek kata, dunia hiburan ini memang ada sahaja cerita.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial tentang pengacara dan pelakon, Hawa Rizwana. Iyalah, selama ini dikenali dengan imej sopan, elegan dan classy.
Tetapi sejak kebelakangan ini, katanya dia semakin aktif muncul dalam konten bersama pempengaruh, Boss James dan nampaknya tidak semua orang suka dengan gabungan mereka berdua ini.
Ada yang kata, Alahai, sayanglah, sudah cantik, sudah ada nama, kenapa perlu ikut arus konten viral macam itu? Ala bercinta tetapi hakikat sebenar, ramai sahaja tahu, mereka berdua tidak benar-benar bercinta pun.
Jadinya, ada yang anggap Hawa ini macam sengaja buat konten bercinta dengan Boss James sebab mahukan perhatian. Ada yang ‘geli’ tengok cara mereka berbual dan berinteraksi bersama, ada yang kata merepek, ada yang kata tidak perlu buat begini sebab nampak seakan terdesak. Pendek kata, macam-macamlah komen yang dituai.
Hendak buat macam mana, mungkin benar, Hawa pun terpaksa buat konten begitu.Hakikatnya, dunia hiburan sekarang tidak sama macam dulu. Kalau dulu cukup sekadar muncul di kaca TV dengan imej terjaga, sekarang semua orang berlumba-lumba mahu kekal relevan di media sosial. Lagi unik, lagi pelik, lagi cepat naik!
Tapi biasalah, bila perubahan itu terlalu ketara, mulalah timbul persepsi. Ada yang kata nampak try hard, ada juga yang rasa tidak selesa tengok konten yang lari daripada imej asal.
Cik Bunga faham kedua-dua pihak. Yang menonton, ada standard sendiri tentang apa itu classy. Yang berkarya pula, mungkin sekadar mahu bereksperimen, mahu cari pendekatan baru supaya tidak tenggelam nama.
Apa pun, satu perkara yang Cik Bunga selalu ingat, populariti memang boleh datang dan pergi, tapi identiti diri itu yang orang akan ingat lama. Kalau terlalu jauh berubah, takut nanti peminat lama terasa terasing.
Namun pada masa sama, siapa kita hendak menentukan jalan orang lain, bukan?










