Cukupkah wang simpanan untuk persaraan? 

Cukupkah wang simpanan untuk persaraan? 

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKANAN kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang perlahan serta liputan perlindungan sosial yang tidak menyeluruh menjadikan isu ketidakcukupan simpanan persaraan semakin membimbangkan di negara ini.

Walaupun belum berada pada tahap krisis menyeluruh, pakar berpandangan Malaysia sedang bergerak ke arah risiko krisis persaraan berstruktur yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Perancang Kewangan Berle­sen, Rafiq Hidayat Mohd Ramli berkata, berdasarkan data rasmi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya 23.9 peratus pencarum keseluruhan mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur setakat Ogos 2025.

Menurutnya, hanya 38.8 peratus pencarum aktif dalam sektor formal mencapai sasaran simpanan ditetapkan.

“Ini bermaksud majoriti rakyat berisiko memasuki usia tua dengan simpanan tidak mencukupi. KWSP sendiri menganggarkan seseorang memerlukan sekitar RM650,000 untuk mencapai tahap persaraan munasabah bagi tempoh kira-kira 20 tahun selepas umur persaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, apabila digabungkan dengan faktor penuaan populasi, peningkatan kos kesihatan serta perlindungan sosial yang terhad, tekanan sistemik terhadap sistem persaraan negara semakin ketara, khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dan M40 bawah.

“Namun, ini bukan kegagalan satu institusi sahaja, sebaliknya gabungan faktor ekonomi, demografi dan struktur pasaran buruh,” jelasnya.

Mengulas faktor struktur ekonomi, beliau berkata, pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup merupakan antara penyumbang utama kepada masalah tersebut.

Katanya, apabila pendapatan sebenar tidak berkembang selari dengan inflasi, keupayaan untuk mencarum atau menyimpan menjadi semakin terhad.

“Selain itu, liputan perlindu­ngan sosial yang tidak menyeluruh turut mewujudkan jurang besar dalam keselamatan hari tua.

“Statistik menunjukkan ha­­nya sekitar 55 peratus ahli KWSP adalah pencarum aktif. Ini bermaksud sebahagian besar tenaga kerja, terutama dalam sektor informal dan gig, tidak mempunyai perlindungan persaraan formal,” katanya.

Beliau turut menekankan isu literasi kewangan yang rendah sebagai faktor tambahan.

“Ada yang mampu menyimpan, tetapi terdedah kepada penipuan, salah percaturan pelaburan atau pengurusan kewangan yang kurang tepat selepas bersara,” ujarnya.

Mengulas pengeluaran khas KWSP semasa pandemik, Rafiq berkata, langkah tersebut membantu rakyat menghadapi krisis tunai jangka pendek, namun memberi kesan jangka panjang terhadap simpanan persaraan.

“Simpanan berkurang secara ketara, tempoh pemulihan mengambil masa bertahun dan risiko kemiskinan warga emas meningkat.

“Secara mudah, pengeluaran khas menyelesaikan krisis jangka pendek tetapi meningkatkan risiko jangka panjang,” katanya.

Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat, beliau berkata, model persaraan sedia ada perlu dinilai semula.

Katanya, umur pengeluaran 55 tahun yang tidak selari dengan umur persaraan 60 tahun serta risiko hidup lebih lama daripada tempoh simpanan menimbulkan persoalan dasar yang wajar diteliti.

“Kajian oleh World Bank turut mencadangkan agar umur kelayakan manfaat sosial disemak semula selari peningkatan jangka hayat sihat.

“Dalam pada itu, ada juga kemungkinan berlakunya tekanan sosial baharu sekiranya majoriti rakyat memasuki usia tua tanpa simpanan mencukupi.

“Fenomena ‘reverse dependency’ boleh berlaku apabila anak terpaksa menyara ibu bapa, sekali gus menjejaskan keupayaan generasi muda membina aset sendiri,” katanya. 

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan risiko kemiskinan meningkat ketara mengikut umur, mencecah hampir 49 peratus bagi isi rumah berketua berumur 70 tahun ke atas.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, peningkatan warga emas yang terus bekerja kerana keperluan kewangan dan bukan pilihan boleh membawa implikasi jangka panjang terhadap struktur pasaran buruh negara.

Menurut beliau, dari satu sudut, pengalaman dan kemahiran golongan berusia masih memberi nilai kepada ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pekerjaan berasaskan pengetahuan.

Namun, jika keadaan itu berpunca daripada simpanan persaraan yang tidak mencukupi, ia boleh menandakan kelemahan dalam jaringan keselamatan sosial negara.

“Produktiviti mungkin terjejas sekiranya pekerjaan tidak disesuaikan dengan keupayaan fizikal warga emas, manakala peluang pekerjaan belia boleh menjadi lebih kompetitif dalam sektor tertentu, walaupun kesannya lazimnya bersifat sektoral dan bukan menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia sememangnya berdepan risiko menjadi negara menua sebelum mencapai status pendapatan tinggi sekiranya isu kecukupan persaraan tidak ditangani lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN