Beli baju raya ketat dedah aurat untuk isteri, Isa Khan selar suami dayus - Utusan Malaysia

Beli baju raya ketat dedah aurat untuk isteri, Isa Khan selar suami dayus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Isa Khan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial selepas memuat naik kenyataan berbaur teguran keras terhadap golongan suami berhubung pemilihan pakaian hari raya untuk isteri.

Dalam perkongsian tersebut, Isa secara lantang menegur sikap segelintir lelaki yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dalam menjaga aurat pasangan masing-masing.

“Kepada lelaki yang beli baju raya untuk isteri, baju pula jenis ketat dan mendedahkan aurat. Lepas itu kau suruh dia pakai, bergambar sekali dan muat naik di media sosial.

“Kau dayus bro, lelaki dayus semestinya 100 peratus tak cium bau syurga,” tulisnya di Threads.

Kenyataan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ada yang bersetuju terhadap mesej disampaikan.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang berpendapat cara penyampaian pelakon tersebut terlalu kasar dan kurang berhemah.

Sehubungan itu, beberapa pengguna media sosial tampil memberikan teguran membina agar Isa menggunakan pendekatan lebih lembut dan positif dalam menyampaikan nasihat.

“Cuba tukar ayat lebih positif.Kepada para suami yang membelikan pakaian hari raya untuk isteri, adalah lebih baik memilih pakaian yang sopan dan menutup aurat dengan sempurna.

“Selain itu, elakkan daripada mendorong pasangan untuk mengenakan pakaian yang ketat atau mendedahkan aurat, apatah lagi berkongsi gambar tersebut di media sosial. Peranan seorang suami adalah untuk membimbing dan menjaga maruah serta kehormatan keluarga dengan sebaiknya,” tulis seorang pengguna media sosial.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet berharap mesej berunsur nasihat seperti itu dapat disampaikan dengan cara lebih berhemah agar mudah diterima oleh masyarakat tanpa menimbulkan rasa kurang senang.

Setakat ini, Isa Khan masih belum memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung reaksi yang diterima terhadap perkongsiannya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN