Benarlah kata orang, hidayah itu bukan sesuatu yang boleh dirancang, apatah lagi dipaksa. Ia hadir perlahan-lahan, menembusi hati yang sedang mencari, meskipun empunya diri tidak pernah menyangka akan dipilih.
Begitulah perjalanan hijrah pelakon, pelawak dan pempengaruh popular kelahiran Korea Selatan, Maryam Younarae.
Di sebalik wajah ceria yang sering mengundang tawa, tersimpan kisah panjang tentang kemurungan, pencarian agama, cabaran menjadi Muslim di tanah kelahirannya sendiri, sehinggalah doa seorang anak yang akhirnya membuka pintu hidayah buat ibunya.
Malah, jika bercerita mengenai Ramadan, bulan yang mulia ini, wanita berusia 34 tahun ini juga ada kisahnya sendiri.
Kongsi Maryam, dia masih ingat, bagaimana lapan tahun lalu, Ramadannya berlaku dalam suasana yang sunyi di Korea Selatan.
“Ketika itu saya masih bekerja di sebuah hospital. Di tempat kerja, semua orang tidak tahu saya sudah memeluk Islam. Mereka tidak tahu saya mualaf. Jadi, setiap hari ada sahaja orang mahu belanja saya minuman.
“Saya kena tahan. Saya selalu menolak pelawaan mereka dengan baik. Tapi mereka salah faham. Mereka fikir saya macam tidak sopan kerana menolak pelawaan mereka.
“Kalau awak mahu tahu, situasi itu adalah yang lagi susah daripada saya harus menahan lapar dan dahaga. Orang pandang saya macam itu lagi sukar buat saya” katanya.

Cerita Maryam, apa yang lebih mencabar adalah apabila dia hampir termakan makanan tidak halal ketika berpuasa.
“Di tempat kerja dahulu, orang di situ memang suka belanja makan dan minum, jadi ada juga situasi di mana mereka mahu suapkan makanan yang ada daging khinzir ke mulut saya waktu puasa.
“Saya terus keluarkan, tapi bukan di depan orang. Dalam hati hanya Allah yang tahu,” ujarnya.
Maryam menjelaskan rakan-rakan rapatnya sebenarnya sudah tahu tentang pengislamannya. Namun pesakit dan klien di hospital tidak mengetahui perkara tersebut.
“Kawan-kawan sudah tahu. Cuma di hospital, pesakit dan klien tidak tahu. Di Korea lebih susah. Saya memang jenis tidak suka orang pandang pelik-pelik.
“Saya takut beritahu sebab akan ada banyak soalan. Mereka tanya, Islam itu tidak bahaya ke? Kenapa pilih Islam? Mereka risau tentang kehidupan saya, tentang suami saya, kewangan, semuanya,”luahnya.

Menurut Maryam, menerusi pengalaman peribadinya, dia mengakui persepsi masyarakat Korea terhadap Islam masih negatif.
“Di Korea, Islam pernah digambarkan buruk. Jadi, bila orang tanya kenapa saya mahu masuk Islam, saya bertanya dengan suami, Rizal. Dia banyak berikan penerangan kepada saya dengan mencari semula sejarah Islam, sejarah Nabi, macam mana Islam bermula.
“Rizal kena buka buku, buka kitab, tanya ustaz. Nampak dia berusaha beri kefahaman. Bukan senang. Kadang-kadang saya tahu dia pun rasa tersepit,”katanya.
Namun titik mula perjalanan baharu Maryam itu bukanlah kerana atas dasar cinta semata-mata. Ia bermula dengan kegelapan hidup yang sukar digambarkan.
“Sebelum saya mengenali Islam, saya sangat depressed. Saya rasa macam tiada masa depan. Saya cuma mahu mati. Bayangkan, saya hidup hari-hari hanya untuk anjing itu, bukan untuk diri sendiri.
“Namun, ketika mengenali Rizal termasuk rakan-rakan Muslimnya,saya dapat tengok cara hidup mereka berbeza. Cara fikir mereka sangat positif. Mereka selalu kata, tak apa, nanti ada rezeki. Cara fikir itu buat saya rasa tenang. Saya mula hendak tahu tentang Islam. Bukan terus masuk Islam, tapi mahu tahu saja.
“Saya pernah belajar Buddha,Kristian dan Katolik. Banyak soalan saya, tapi jawapan yang diberi tidak boleh saya terima. Tapi bila saya tanya tentang Islam, kebanyakan soalan ada jawapan yang saya boleh terima.
Jadi saya rasa, inilah agama yang sesuai untuk saya. Itu yang buat saya buat keputusan untuk memeluk Islam iaitu ketika berusia 27 tahun,” katanya.
Menurut pelakon filem Mat Tudung Begins ini lagi, selepas memeluk Islam, fikirannya menjadi lebih positif dan lebih tenang. Walaupun tidak sampai tahap sempurna, tetapi katanya, ia jauh lebih baik daripada dirinya yang dahulu.
“Sekurang-kurangnya sekarang saya ada rasa mahu hidup. Dulu kalau di Korea, saya hari-hari fikir esok tak nak hidup lagi. Teruk sangat. Tapi sekarang saya ada keluarga, ada anak. Saya sangat bersyukur. Setiap hari saya hanya ucap syukur pada Allah. Tidak minta apa-apa lagi, cuma minta kesihatan untuk keluarga,”katanya.

Ibu turut terima hidayah
Ketika temu bual ini berlangsung, Maryam turut memberitahu saya bahawa ibunya juga kini telah memeluk Islam dan bergelar seorang mualaf.
“Kalau hendak tahu, inilah kali pertama saya beritahu kepada umum bahawa ibu saya kini memeluk Islam. Saya tidak pernah beritahu sesiapa lagi. Ibu saya tengok macam mana saya dapat ketenangan dalam Islam.
Empat tahun dia tengok saya perlahan-lahan. Dia cuba ikut saya ke masjid, cuba solat Subuh, cuba baca al-Quran.
“Mungkin juga ini berkat saya tidak putus asa berdoa kepada Allah, termasuk ketika saya pergi menunaikan umrah pada 2023.Masa tawaf, saya rasa tempat itu sangat menenangkan. Saya fikir, kenapa saya tidak boleh bawa keluarga saya ke sini? Saya cuma doa, ‘Ya Allah, tolong beri hidayah kepada keluarga saya sebelum saya pergi.’ Itu saja doa saya.
“Apabila saya kembali ke Kuala Lumpur, tiba-tiba ibu saya beritahu dia sudah syahadah. Saya terkejut. Masa itu kami rahsiakan dulu sebab ibu baru syahadah, masih bertatih dan belum amalkan sepenuhnya. Dia baru lima atau tujuh minggu kenal Islam waktu itu,”kongsinya.
Kata Maryam lagi, apa yang menarik, bapa tirinya berketurunan Pakistan dan sudah lama Muslim, namun hidayah itu tidak datang melalui suami ibunya sendiri.
“Bapa tiri saya seorang Muslim, lebih 10 tahun bersama ibu. Tapi hidayah itu bukan datang daripada dia. Allah pilih jalan lain. Allah pilih saya yang masih belajar ini sebagai asbab. Itu yang buat saya rasa betul-betul takjub. Allah boleh pilih sesiapa saja.
“Jadi, macam mana saya tidak percaya pada Allah? Doa saya dijawab. Ibu saya terima Islam. Hidup saya berubah. Dulu saya tidak mahu hidup, sekarang saya rasa hidup ini ada makna,”katanya.










