Alami lemah paru-paru, Marsha berjaga-jaga soal kesihatan

Alami lemah paru-paru, Marsha berjaga-jaga soal kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKARA paling merisaukan seorang penyanyi adalah diuji masalah kesihatan yang menjejaskan vokal. Ini kerana suara bagi penyanyi juga merupakan sumber mata pencarian.

Dilema itu menghimpit penyanyi, Marsha Milan yang pada tahun lepas bergelut masalah kesihatan berpanjangan.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh mengakui 2025 tahun cukup mencabar kerana terpaksa berdepan ketidak tentuan kerana konflik kesihatan.

“Saya ada masalah lemah paru-paru. Keadaan ini saya sedari selepas kali pertama dijangkiti Covid-19. Selepas itu, apabila demam atau batuk, saya akan mengambil masa yang sangat lama untuk pulih.

“Tahun lepas sangat menduga.  Saya melalui beberapa episod demam dan batuk berpanjangan. 

“Paling teruk ketika saya dijangkiti influenza antara Oktober hingga November tahun lepas, mengambil dua bulan untuk pulih.

“Sepanjang tempoh itu saya bergelut kerana ada kerja yang tetap perlu diteruskan,” kongsinya yang ditemui pada sidang media dan tayangan telefilem Amira Amir baru-baru ini.

Marsha mengakui hanya berbekalkan semangat dan kekuatan untuk segera sihat. Pelbagai usaha diambil untuk dia mendapatkan kesembuhan.

“Ada sesi rakaman yang terpaksa ditangguh, ada persembahan tepaksa saya batalkan dan dalam masa sama ada juga persembahan yang saya teruskan dalam keadaan saya bergelut dengan batuk dan demam.Memang tidak mudah.

“Tapi hidup tetap diteruskan. Saya lakukan apa yang perlu. Ambil suntikan vaksin, berulang alik berjumpa doktor pakar untuk buat pemeriksaan dan dapatkan nasihat untuk pulih,” jelasnya.

Dalam masa yang sama penyanyi lagu Hening Rindu ini bertekad tahun ini untuk lebih peka dan teliti menjaga kesihatannya . 

“Perkara ini memang merisaukan saya. Dalam tahun lepas, berbulan-bulan saya diuji sakit berulang kali. 

“Saya harus jaga kesihatan. Jika demam dan batuk, mengambil masa panjang untuk sembuh.

“Gaya hidup saya pun berubah. Tiada lagi makanan berminyak atau pedas dan saya perlu sentiasa merujuk pakar untuk menyemak tahap kesihatan paru-paru saya,” kongsinya.

Mengulas tentang Hati Yang Tak Terbalas yang menjadi lagu latar filem Amira Amir, Marsha mengakui lagu berkenaan menyimpan cerita tersendiri.

“Awalnya saya meminta lagu ini diberikan kepada penyanyi lain kerana ketika ditawarkan, saya mengalami bergelut dengan jangkitan influenza mengakibatkan saya tak mampu merakamkannya. Tambah pula lagu ini terkandung penghayatan cukup berat.

“Namun Alhamdulillah, saya sembuh lebih awal pada penghujung Oktober dan akhirnya menerima tawaran itu.  Pada saya lagu ini satu tnggungjawab yang  besar kerana permintaan pihak produksi sendiri untuk saya nyanyikannya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN