Di sebalik senyuman tenang yang sering dilihat di kaca televisyen dan media sosial, pelakon serta selebriti popular, Scha Alyahya mengakui hatinya masih sarat dengan rasa rindu yang belum benar-benar reda.
Apatah lagi apabila Syawal semakin hampir, suasana yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan kini terasa sedikit berbeza buat dirinya. Tahun ini merupakan tahun kedua Scha menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran ibu tersayang di sisi.
Menurut Scha, kehilangan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dibiasakan, walaupun masa terus berjalan.
“Untuk tahun ini juga, suasana raya agak berbeza kerana ini tahun kedua tanpa ibu saya. Bukan sedikit perbezaannya. Saya masih lagi dalam proses untuk menyesuaikan diri,” katanya dengan nada perlahan.
“Kadang-kadang apabila teringat dia, saya akan cuba simpan perasaan itu dulu. Contohnya bila nak masak laksa dan tiba-tiba lupa bahan, dulu saya boleh telefon dia untuk tanya. Sekarang dah tak boleh.
“Saya akan kata pada diri, ‘Tak apa, nanti baru layan perasaan ini.’ Biasanya saya ambil masa sendiri untuk melepaskan perasaan supaya orang sekeliling tidak rasa kekok,” jelasnya.
Menurut Scha, ramai rakan yang turut melalui pengalaman sama berkongsi bahawa rasa kosong akibat kehilangan ibu tidak pernah benar-benar hilang.
“Ramai kawan-kawan yang sudah lima atau enam tahun kehilangan ibu pun kata perasaan kosong itu masih ada dan tidak boleh digantikan dengan apa-apa. Ia satu proses yang perlu diterima sepanjang hidup,” katanya.
Namun yang paling menyentuh hatinya ialah apabila anak-anaknya sendiri mula bertanya soalan tentang arwah nenek mereka.
“Kadang-kadang anak saya akan tanya, rindu tak pada ibu? atau ‘Do you miss Mak Tok?’ Kalau dia nampak rama-rama, dia akan tanya, ‘Is that Mak Tok?’ Ada juga dia tanya, ‘Mummy pergi kubur ke tadi ?’
“Soalan-soalan polos itu kadang-kadang membuatkan hati saya terusik, namun saya cuba mengawal emosi di hadapan anak-anak.
“Saya cuba untuk tidak terlalu dramatik di depan mereka. Bukan sebab nak elak, tetapi saya mahu menghargai masa sekarang supaya kita semua boleh terus bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya.
Menurut Scha, antara perkara yang paling sukar untuk diubah ialah rutin yang pernah menjadi kebiasaan sejak dahulu.
“Dulu setiap kali saya mendarat di mana-mana tempat, saya akan telefon ibu. Itu seperti rutin. Apabila kita gembira, apabila ada berita baik atau sampai di sesuatu tempat, orang pertama yang kita nak hubungi biasanya orang yang paling rapat dengan kita. Bagi saya, orang itu ialah ibu saya,” katanya.
Malah sehingga kini, Scha mengakui dia masih bergelut untuk melepaskan kebiasaan itu.
“Sampai sekarang, hampir setiap hari selama setahun ini, saya masih rasa sukar untuk lepaskan rutin itu.
“Kalau saya rasa terlalu tertekan, biasanya saya ada cara terapi sendiri. Saya akan duduk diam di tempat tertentu dan ambil masa untuk diri sendiri. Suami saya pun tahu tempat itu,” katanya merujuk kepada suaminya, Awal Ashaari.
Ujar Scha, ruang sunyi itu menjadi tempatnya melepaskan emosi agar perasaan tidak terlalu berat.Malah baru-baru ini, dia mengakui pernah melalui detik yang agak sukar.
“Kira-kira dua minggu lepas, saya rasa sangat down. Perasaan itu datang dengan sangat kuat dan membuatkan saya rasa berat.Saya terus cakap kepada Awal, ‘kita keluar.’ Walaupun Awal bukan jenis yang suka keluar berjalan atau pergi ke pusat beli-belah contohnya, namun apabila dia nampak keadaan saya begitu, dia terus bawa saya keluar tanpa banyak soal,” katanya.
Dalam perkembangan kerjaya, Scha memberitahu, April ini, dia bakal muncul dengan filem baharu berjudul Kata Hati yang turut dibintangi oleh Nia Atasha, Fazziq Muqris,Yusof Hashim dan Nina Kho.
Filem arahan Nadia Hamzah itu dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 9 April.










