Khairy sertai semula UMNO satu kesilapan besar - Utusan Malaysia

Khairy sertai semula UMNO satu kesilapan besar

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali ke UMNO sebagai satu kesilapan besar kerana beliau tidak mempunyai alasan munasabah untuk menyertai semula parti tersebut.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, Khairy mempunyai platform politik yang lebih baik dan pilihan lain, termasuk menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti yang dilakukan beberapa bekas pemimpin UMNO lain, antaranya Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, PN akan membuka tangan seluas-luasnya untuk menerima Khairy, namun beliau memilih melihat perkara itu dari perspektif berbeza.

Katanya, pemecatan Khairy daripada UMNO pada 2023 disebabkan oleh dakwaan usaha sabotaj terhadap parti serta kenyataan Khairy bahawa UMNO sudah sesat dan pemecatan tersebut juga dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO hari ini yang kita lihat tidak banyak bezanya dengan tiga tahun lepas. UMNO hari ini masih tunduk kepada Pakatan Harapan (PH) dan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Adalah sekali-sekala Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membentak. KJ dipecat oleh UMNO itu. Hari ini, UMNO itu juga yang menerimanya semula. Kenapa KJ melihat UMNO pada 2023 dan UMNO hari ini berbeza sehingga sanggup masuk semula, dia saja yang tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Menurut Yusfarizal, tiada siapa yang tahu ketika ini sama ada Khairy berjaya menjadi ‘reformis’ dalam UMNO kerana UMNO hari ini bukanlah lebih kuat daripada sebelumnya, bahkan mungkin lebih lemah.

Katanya, Khairy dilihat sebagai seorang pemimpin berkaliber dan mempunyai potensi masa depan yang cerah dalam arena politik negara.

“Bagaimanapun, masa depannya agak kelam selepas dipecat daripada UMNO pada 2023. Khairy sedar bahawa jika beliau hanya berdiam diri, kerjaya politiknya berisiko terhenti.

“Bagi mengekalkan popularitinya, beliau mengambil inisiatif melibatkan diri dalam aktiviti yang dekat dengan rakyat, termasuk menjadi DJ (penyampai radio) serta melancarkan audio siar sendiri bertajuk Keluar Sekejap,” katanya.
Semalam, dua bekas pe­mimpin kanan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy dilaporkan telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali menyer­tai parti tersebut.

Perkara itu disahkan Setia­usaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN