Tiada istilah kami cuba menunggang kontroversi Puteri Balqis - Utusan Malaysia

Tiada istilah kami cuba menunggang kontroversi Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan pelakon sensasi, Puteri Balqis bukan sahaja mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet, malah turut mengheret jenama fesyen tempatan, Dr Cardin, yang tampil menafikan dakwaan kononnya mereka sengaja mengambil kesempatan daripada isu berkenaan.

Jenama itu menjadi perhatian selepas Puteri Balqis diundang sebagai tetamu dalam sesi siaran langsung TikTok mereka baru-baru ini, sekali gus mencetuskan spekulasi segelintir pihak yang mendakwa Dr Cardin cuba ‘menunggang’ populariti kontroversi pelakon tersebut demi meraih publisiti dan keuntungan.

Bagaimanapun, Ketua Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee menegaskan, dakwaan tersebut tidak berasas kerana perancangan kerjasama itu telah dibuat lebih awal sebelum isu melibatkan Puteri Balqis dan Mia Sara tular di media sosial.

“Saya perlu jelaskan perkara ini kerana ramai yang salah faham. Kami sudah ‘lock’ Puteri Balqis lebih awal. Beberapa hari sebelum sesi ‘live’ berlangsung, barulah dia menjadi viral dan perkara itu memang di luar jangkaan kami. Tiada istilah kami cuba menunggang kontroversi yang terjadi,” katanya.

Menurut Charl Yee, dia berasa bimbang apabila pihaknya turut terpalit dengan kontroversi yang sedang hangat diperkatakan, namun situasi itu akhirnya memberi impak positif dari sudut penerimaan pengguna.

“Sebagai sebuah jenama, sudah tentu kami risau kerana tidak mahu dikaitkan dengan perkara negatif. Namun, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku apabila sesi siaran langsung itu mendapat sambutan luar biasa.

“Jualan juga mencapai sasaran dan banyak produk habis terjual,” katanya pada majlis pertunjukan fesyen The Raya Table by Dr Cardin, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Charl Yee turut memuji sikap dan profesionalisme Puteri Balqis sepanjang kerjasama tersebut, sekali gus menepis tanggapan negatif terhadap pelakon berkenaan.

“Berdasarkan maklum balas kakitangan saya, Puteri Balqis seorang yang sangat merendah diri, berdisiplin dan mudah bekerjasama. Sikap sebenar dia sangat berbeza dengan persepsi segelintir pihak,” ujarnya.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Puteri Balqis pada masa hadapan sekiranya terdapat kesesuaian bagi kempen koleksi baharu.

Dalam pada itu, pertunjukan fesyen berkenaan turut menyaksikan Dr Cardin memperkenalkan duta kempen Raya 2026 mereka iaitu Erysha Emyra dan Hun Haqeem.

Majlis tersebut turut menampilkan koleksi terbaharu sempena Aidilfitri merangkumi beg tangan, kasut tumit tinggi dan sandal.

“Untuk koleksi lebaran kali ini, sekitar 80 peratus produk kami memberi tumpuan kepada wanita kerana mereka lebih cenderung membuat persiapan awal untuk raya.

“Kami menawarkan rekaan beg dan kasut yang lebih elegan serta sesuai digayakan sepanjang musim perayaan,” katanya.

Antara koleksi beg yang diperkenalkan ialah Soraya, Nara, Dumpling Weave dan Araya, manakala koleksi kasut wanita terdiri daripada Dewy, Serene, Sera, Lush dan Lush Eve. Bagi lelaki pula, Dr Cardin tampil dengan koleksi sandal Cove Air, Cove Core dan The Air Pillow Flow.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN