Tawar rebiu RM100, Syada Amzah nafi terdesak wang - Utusan Malaysia

Tawar rebiu RM100, Syada Amzah nafi terdesak wang

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syada Amzah, tampil menjelaskan salah faham segelintir netizen selepas tindakannya menawarkan perkhidmatan video rebiu pada harga RM100 telah disalah tafsir sebagai tanda dia berdepan masalah kewangan.

Syada yang juga adik kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah menjelaskan tawaran berkenaan dibuat khusus untuk restoran, kafe dan kedai makan yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, sempena menyambut Ramadan.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi apabila seorang netizen meninggalkan komen mendakwa harga rendah itu seolah-olah mencerminkan Syada terdesak memerlukan wang.

“Harga serendah ini bermakna anda benar-benar memerlukan wang, harap semuanya baik-baik sahaja di pihak anda,” tulis netizen berkenaan.

Tidak berdiam diri, Syada menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan niatnya hanyalah untuk membantu klien lama dalam membuat promosi Ramadan, bukan kerana masalah kewangan.

“Alhamdulillah, ia tidaklah teruk sangat di pihak saya. Niat saya sebenarnya lebih kepada membantu pelanggan saya yang terdahulu,” katanya.

Menurut Syada, pakej harga istimewa itu ditawarkan kerana video promosi berkenaan akan disiarkan selama tempoh yang panjang merangkumi sebelum dan sepanjang Ramadan.

“Saya akan menyiarkannya 10 hari sebelum Ramadan dan 20 hari semasa Ramadan. Jadi, saya boleh membantu mereka dengan lebih banyak pendedahan untuk promosi Ramadan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN