KUALA LUMPUR: Perkongsian pelakon dan pengacara terkenal, Scha Alyahya, di platform Threads baru-baru ini menyentuh emosi ramai apabila dia meluahkan rasa rindu yang tidak pernah pudar terhadap Allahyarham ibunya.
Menurut Scha, meskipun sudah setahun pemergian insan tersayang itu, dia masih sukar meninggalkan satu tabiat lama setiap kali ke luar negara atau sebaik sahaja pesawat mendarat, iaitu menghubungi ibunya.
Katanya, refleks tersebut berlaku secara spontan dan sukar dihentikan walaupun menyedari hakikat bahawa ibunya telah tiada.
“Satu tabiat yang susah hendak ditinggalkan. Setiap kali melancong atau baru mendarat, mesti tergerak hendak hubungi mak.
”Sudah setahun berlalu, tetapi masih sukar untuk dihentikan,” katanya.
Luahan isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu nyata mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet yang turut memahami perasaan kehilangan seorang ibu.
Ruangan komen dibanjiri dengan perkongsian pengalaman peribadi, apabila ramai mengakui mereka juga berdepan situasi sama dan masih ‘terlupa’ bahawa insan tersayang telah pergi buat selama-lamanya.
Antara komen yang dikongsikan warganet, seorang pengguna menceritakan kenangan panggilan terakhir ibunya sebelum meninggal dunia, manakala yang lain menyatakan mereka masih cenderung untuk menghantar mesej atau berkongsi cerita, sebelum tersedar bahawa ibu yang dirindui sudah tiada.
“Perasaan itu sangat difahami, dan ia adalah perkara biasa. Kehilangan ibu meninggalkan kesan yang mendalam,” tulis seorang warganet.
Perkongsian tersebut sekali gus menjadi cerminan bahawa kasih seorang anak terhadap ibu tidak pernah terpadam, meskipun dipisahkan oleh jarak dan waktu, malah doa dan kenangan terus hidup dalam ingatan.










