Penyanyi era awal 2000-an, Nursyella Kamaruddin, 40, mengakui hatinya masih terpaut pada dunia seni nyanyian, namun sehingga kini dia belum bersedia untuk kembali aktif secara serius kerana suaminya masih belum memberi keizinan sepenuhnya.
Menurut Nursyella, setiap kali dia meluahkan keinginan untuk kembali menyanyi atau menghasilkan lagu baharu, suaminya tidak pernah menghalang secara kasar, sebaliknya bertanya dengan nada lembut yang membuatkan dirinya berfikir panjang.
“Setiap kali saya cakap teringin nak menyanyi balik atau buat lagu, suami saya tak marah. Dia cuma tanya dengan lembut, ‘Kenapa? Tak cukup duit sangatkah kita sayang?’ Soalan tu buat saya terus diam dan fikir.
“Maksud dia bukan nak jatuhkan saya, tapi lebih kepada mengingatkan, perlu ke saya hadap semua benda dalam industri sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang pernah dikenali dengan lagu Menangis Dalam Hujan ini, dia sedar industri hiburan hari ini jauh berbeza berbanding ketika zaman kemuncaknya dahulu.
Tekanan media sosial, komen netizen dan tuntutan imej menjadi antara perkara yang membuatkan dia berasa tidak cukup bersedia dari segi mental dan emosi.
“Saya tengok industri sekarang kejam. Dulu lain, sekarang lain. Netizen pun lain. Kita pula bukan dalam keadaan betul-betul bersedia, dari segi fizikal, mental, semuanya. Kalau saya menyanyi pun, satu lagu mungkin okey, tapi cuba tiga atau empat lagu, saya sendiri tahu kemampuan saya.
“Saya tak nak sekadar muncul dan orang kata, ‘eh kenapa macam ni?’,” katanya berterus-terang.
Dalam pada itu, Nursyella turut mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi dan aktiviti harian di media sosial. Bukan kerana mahu berahsia, sebaliknya disebabkan pengalaman hitam yang pernah dilaluinya apabila mendakwa menjadi mangsa perbuatan khianat oleh individu yang tidak senang melihat kebahagiaannya.
“Saya memang orang yang berhati-hati dari dulu. Bukan sebab takut, tapi sebab saya tahu bukan semua orang suka tengok kita senang.
“Ada orang dekat-dekat, bukan orang luar, yang tak puas hati. Saya pernah sakit bertahun-tahun, sampai ustaz cakap ada unsur sihir. Ada gambar, ada bukti, benda-benda pelik yang jadi pada saya dan keluarga. Sejak itu saya memang tak berani nak kongsi semua benda,” katanya.
Menurut Nursyella, statusnya sebagai isteri VIP juga secara tidak langsung mengundang rasa tidak senang daripada segelintir pihak, meskipun dia tidak pernah berniat untuk menunjuk kehidupan peribadi.
“Kita ini bukanlah artis besar atau terlalu popular tapi bila kita isteri kepada seseorang, ada orang sakit hati. Sebab itu saya tak suka sangat orang tahu ke mana saya pergi, apa saya buat. Kalau nak keluar pun, saya cakap pergi beli barang atau keluar sekejap. Bukan tipu, cuma nak jaga diri,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia merindui dunia seni, Nursyella tidak menafikan perasaan itu masih ada, apatah lagi apabila lagu-lagunya masih diputarkan di radio dan menerima komen peminat yang berharap dia kembali aktif.
“Rindu tu memang rindu. Bila orang cakap lagu saya masih main di radio, masih ada yang ingat, mestilah rasa terharu. Tapi rindu saja tak cukup. Saya kena fikir keluarga, kesihatan, dan izin suami. Buat masa sekarang, saya reda dan bersyukur dengan kehidupan yang ada,” katanya.
Mengakhiri bicara, Nursyella menegaskan dia tidak pernah menutup pintu sepenuhnya untuk kembali ke dunia nyanyian, namun jika itu berlaku, ia hanya akan terjadi apabila dia benar-benar bersedia dan mendapat restu suami.
“Kalau satu hari nanti saya kembali, biarlah dalam keadaan tenang, bukan sebab desakan atau kejar populariti. Buat masa sekarang, saya bahagia begini,” katanya.










